KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan penyertaan bersejarah Timor-Leste ke dalam ASEAN sebagai pencapaian penting yang memperkukuh aspirasi serantau seperti yang digariskan dalam Visi Komuniti ASEAN 2045.
Menurut Perdana Menteri, visi yang telah diterima pakai pada Mei lalu itu mencerminkan cita-cita bersama negara-negara anggota untuk membina masa depan yang lebih bersatu, adil dan berdaya tahan.
Malah, beliau turut menyifatkan penyertaan Timor-Leste melengkapkan keluarga ASEAN dan mengukuhkan semangat anggota ASEAN.
“Dalam komuniti ini, pembangunan Timor-Leste dan autonomi strategiknya akan menerima sokongan yang kukuh dan berterusan.
“Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia komited untuk memastikan penyertaan Timor-Leste membawa manfaat menyeluruh kepada rantau ini, selaras dengan matlamat jangka panjang yang telah digariskan.,” katanya ketika berucap pada majlis pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Sementara itu, Anwar berkata, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini bertekad untuk menyelaraskan semula keutamaan blok serantau itu agar kekal berdaya tahan, relevan dan responsif terhadap perubahan zaman.
Menurutnya, usaha tersebut dilaksanakan bersama negara anggota lain dengan matlamat memperkukuh keamanan dan kestabilan serantau, khususnya berhubung situasi di Myanmar.
“Kita sedar bahawa usaha ini memerlukan kesabaran dan ketekunan, serta pengiktirafan jujur terhadap realiti di lapangan.
“Berpandukan Konsensus Lima Perkara, ASEAN telah menggunakan segala saluran dan rakan yang ada untuk mengurangkan keganasan serta meringankan krisis kemanusiaan.
“Bagaimanapun, keamanan yang berkekalan mesti dimiliki dan dipimpin oleh rakyat Myanmar sendiri agar proses perdamaian dapat bertahan,” katanya.
Anwar turut menekankan bahawa keamanan dan kemakmuran relatif yang dinikmati ASEAN selama hampir enam dekad bukanlah sesuatu yang bersifat kekal, sebaliknya perlu diperbaharui melalui kerjasama erat dan semangat kebersamaan. – MalaysiaGazette


