IPOH – Perak akan melaksanakan larangan sepenuhnya terhadap pemberian atau penggunaan beg plastik sekali guna di seluruh negeri mulai 1 Januari 2026, selaras dengan hasrat Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).
Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, walau bagaimanapun, perkara itu masih dalam dalam tindakan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bagi mendapatkan pertimbangan Pihak Berkuasa Negeri (PBN).
Katanya, ketidakberkesanan atau kurang keberkesanan kaedah kutipan caj pencemaran plastik yang sedang dilaksanakan telah menjadi asas kepada sasaran baharu kerajaan negeri itu.
“Kutipan caj pencemaran pencemaran plastik yang dilaporkan di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri Perak pada tahun 2023 adalah berjumlah RM 204,238.80, dan jumlah kutipan itu meningkat kepada RM 597,348.80 pada tahun 2024.
“Manakala, bermula Januari sehingga September tahun ini pula, sebanyak RM361, 510.60 kutipan caj pencemaran telah dikutip.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan caj penggunaan beg plastik PBT Perak adalah sebanyak RM1.16 juta daripada 598 premis yang mengenakan caj beg plastik kepada pelanggan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Goh See Hua (PH-Pasir Pinji) pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Jumaat.
Menurut Kok Lim, peningkatan kadar kutipan caj penggunaan beg plastik di Perak menunjukkan kurangnya kesedaran dan sensitiviti masyarakat umum tentang plastik sekali guna yang memberi kesan negatif kepada alam sekitar dan kesihatan.
“Pengenaan caj pencemaran oleh PBT bertujuan untuk mengurangkan dan menghindari penggunaan beg plastik terutamanya beg plastik sekali guna di kalangan rakyat.
“Ia juga adalah satu langkah yang diambil bagi menggalakkan para pengguna supaya membawa beg guna semula sendiri dalam urusan harian,” katanya lagi.
Namun jelas beliau, kerajaan negeri ketika ini masih berdepan beberapa cabaran utama dalam pelaksanaan usaha pengurangan dan larangan penggunaan beg plastik.
Jelas Kok Lim antaranya adalah tahap kesedaran segelintir masyarakat yang masih rendah, kekurangan alternatif selamat dan praktikal di pasar basah serta perolehan komitmen semua pihak.
“Kerajaan negeri perlu mendapatkan komitmen bukan sahaja daripada premis perniagaan tetap, tetapi juga peniaga kecil, peniaga pasar, penjaja harian, dan komuniti setempat,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kilang kitar semula barangan getah, plastik terbakar 80 peratus


