IPOH – Perak akan membuat penilaian menyeluruh terhadap situasi semasa sebelum mempertimbangkan keperluan memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi buat rakyat di negeri ini susulan konflik di Asia Barat
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bagaimanapun sebarang keputusan berhubung perkara itu akan dibuat melalui mesyuarat khas termasuk menerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTEN) Perak.
“Dari segi pakej rangsangan ekonomi, kita akan mengambil kira situasi semasa sebelum mengadakan mesyuarat khas (berkaitan).
“Kita ada MTEN untuk melihat langkah bagi mengukuhkan kesiapsiagaan rakyat, dan pada masa sama rangsangan yang diberikan akan membantu rakyat terutama kepada golongan petani serta usahawan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Pelancaran Buku Rujukan Tambahan Tambahan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di bawah Program Tuisyen Cikgu Saarani di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Isnin.
Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Pengurus Besar Yayasan Perak, Dr Nasreen Khanum Nawab Khan serta Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Zulkafli Mohamed Mokhtar.
Mengulas lanjut Saarani berkata, beliau telah menghadiri taklimat bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis lalu bagi mendengar penjelasan berhubung kedudukan ekonomi negara ketika ini.
Kata beliau, beberapa inisiatif telah diumumkan di peringkat Persekutuan, terutamanya melalui kementerian berkaitan yang memberi penumpuan kepada aspek berkaitan keterjaminan makanan.
Pada masa sama Saarani berkata, pendekatan memperkukuh keterjaminan makanan bukan perkara baharu di Perak, sebaliknya telah lama digerakkan melalui kempen ‘Tanam apa kita makan, makan apa kita tanam’.
“Ada beberapa pakej yang telah diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan, terutama oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, tentang keperluan penanaman tanaman makanan dalam jangka masa pendek iaitu tempoh tiga bulan.
“Dan di Perak, kita sudah lama mengamalkan kempen ‘tanam apa yang kita nak makan, makan apa yang kita tanam’. Ia sebenarnya keperluan mendesak supaya kita tidak terlalu bergantung kepada bahan import yang semakin mahal,” katanya lagi.
Dalam perkembangan berasingan Saarani memaklumkan, sesi penerangan berkaitan pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) bagi penjawat awam negeri akan dilaksanakan pada Selasa.
Kata beliau, sesi yang akan dipengerusikan Ahmad Suaidi itu susulan surat pekeliling yang telah dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara (KSN) berkaitan BDR, baru-baru ini.
“Situasi terkini tidak sama seperti ketika era pandemik COVID-19 yang mana ketika itu, BDR dilaksanakan untuk mengelakkan orang ramai berkumpul. Akan tetapi situasi kali berbeza, dan ia perlu difahami oleh semua kakitangan kerajaan,” katanya.
Berdasarkan surat pelaksanaan BDR yang dimuatnaik laman Facebook Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, dinyatakan kerajaan negeri bersetuju supaya Pegawai Perkhidmatan Awam Negeri melaksanakan BDR secara berperingkat dan berkuat kuasa mulai 15 April.
Ia antara lain turut menyatakan pegawai yang layak adalah berkhidmat di ibu negeri dengan jarak perjalanan sehala dari pejabat ke rumah melebihi lapan kilometer. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Konflik Asia Barat: Kerajaan fokus ringankan beban rakyat – PM


