Perak akan perluas program HKS ke daerah lain

KAMPAR – Kerajaan Negeri Perak melaksanakan Program Latihan dan Pelesenan Hos Komuniti Setempat (HKS) ke daerah lain, kata Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Loh Sze Yee.

Menurut belliau, program yang julung kali diadakan ini bertujuan menaiktaraf kualiti pemain industri khususnya komuniti dan pengusaha setempat dalam sektor pelancongan di daerah terlibat.

Ujar Sze Yee program perintis yang diadakan di daerah Kampar itu dilaksanakan melalui Sekreteriat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) bersama penyedia latihan Empire Putra College Sdn Bhd.

Menurutnya, kursus yang berlangsung selama 14 hari serta melibatkan 19 peserta daripada pelbagai latar belakang itu turut mendapat kerjasama daripada Tourism Perak dan Majlis Daerah Kampar (MDK).

“Sebab utama kita melaksanakan program ini kerana komuniti dan pengusaha setempat lebih mahir dalam menyampaikan sejarah dan penceritaan kawasan mereka kepada pelancong.

“Terdapat empat modul utama yang dipelajari peserta sepanjang menjalani kursus iaitu, pemetaan aset budaya dan lawatan tapak; aktiviti interpretasi dan penceritaan; khidmat pelanggan dan keusahawanan HKS.

“Semua modul yang diketengahkan ini membantu peserta mendapatkan latihan secara komprehensif bagi kakitangan barisan hadapan sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam industri pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Program Latihan dan Pelesenan HKS kepada Komuniti/Pengusaha di Daerah Kampar di Hotel De Cassia, di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK), Aldrin Ng, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa dan Yang Dipertua Daerah Kampar, Ahmad Suqairy Alias.

Dalam pada itu, Sze Yee berkata, kursus ini juga membantu peserta untuk menjana pendapatan terutamanya kepada mereka yang tidak ingin berhijrah ke bandar tetapi melihat peluang serta potensi untuk berbuat demikian di kawasan asal mereka.

“Justeru, saya mewakili kerajaan negeri berharap kemahiran serta didikan dan pengalaman yang peserta peroleh melalui kursus ini akan memberi manfaat serta membantu meningkatkan ekonomi serta pendapatan keluarga masing-masing,” jelasnya.

Beliau berkata, penganjuran kursus ini akan meningkatkan kualiti produk pelancongan yang disokong komuniti terlatih dan sentiasa bersedia serta cekap mengendalikan pelancong bukan sahaja untuk Tahun Melawat Perak (TMP) 2024 tetapi sebagai persediaan bagi menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Usaha ini mampu menjadikan produk pelancongan di negeri ini diuruskan secara sistematik dan professional.

“Program ini akan diperluaskan di daerah lain dan pengumuman berhubung perkara tersebut akan dibuat di platform media sosial Tourism Perak dan PASAK,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak giat bangunkan Koridor TVET, sumbang tenaga mahir industri pelancongan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI