GERIK – Kerajaan Perak menjadi negeri pertama mengambil inisiatif menubuhkan Koperasi Sejati MADANI melibatkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang menerima manfaat Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI).
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, kerjasama dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) ini akan dilaksanakan di lima lokasi termasuk Gerik yang diadakan pada hari ini.
Menurut beliau, program ini merupakan usaha Kerajaan Negeri Perak dalam membantu JPKK yang menerima manfaat Program SejaTi MADANI untuk memastikan mereka menjalankan projek-projek peningkatan ekonomi.
“Inisiatif ini bukanlah arahan kementerian tetapi usaha kerajaan negeri untuk membantu mengupayakan kampung-kampung di Perak yang mendapat manfaat Program SejaTi MADANI.
“Kita melihat betapa pentingnya kampung-kampung ini dipandu untuk memastikan projek-projek peningkatan ekonomi yang telah diturunkan melalui SejaTi MADANI ini kekal dan memberi impak bukan sahaja kepada pentadbiran kampung tetapi juga kepada komuniti,” katanya.
Turut sama, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Negeri Perak, Zuhaini Romli. Foto ABDULLAH YUSOF, 06 FEBRUARI 2025.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Program Taklimat Penubuhan Koperasi Sejati Madani, Impian Jadi Realiti di Dewan Persidangan Majlis Daerah Gerik, di sini, pada Khamis.
Hadir sama Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Perak, Zuhaini Romli.
Mengulas lanjut, Salbiah berkata, pihaknya berharap melalui inisiatif berkenaan jumlah koperasi di Perak juga bakal bertambah selain memantapkan pengurusan JPKK.
“Setakat ini kita mempunyai 1,734 buah koperasi yang berdaftar di Perak dan harapan saya apabila taklimat ini dijalankan di lima lokasi berbeza di mana kita himpun JPKK mereka akan terbuka minda mendirikan koperasi.
“Jadi kemungkinan kita akan ada tambahan koperasi baharu tahun ini meskipun ia bukanlah matlamat utama kita memandangkan kita mahu membantu dalam kesejahteraan rakyat Perak,” katanya.
Mengulas mengenai program taklimat penubuhan koperasi Sejati MADANI, Salbiah berkata ia merupakan platform penyampaian maklumat terperinci tentang proses penubuhan koperasi, struktur organisasi, dan prosedur pendaftaran kepada individu atau kumpulan yang berminat untuk menjadi ahli atau penggerak koperasi.
Beliau berkata pemahaman yang jelas berkaitan program ini bukan sahaja dapat meningkatkan bilangan pendaftaran koperasi di negara ini malah memberi manfaat dalam meningkatkan pendapatan, pemilikan bersama, dan kesejahteraan penduduk kampung sekitar.
“Program taklimat ini juga merupakan satu inisiatif yang menyokong aspirasi Dasar Koperasi Malaysia 2030 dan Perak Sejahtera dengan menyediakan platform bagi penubuhan koperasi yang dapat memperkasa ekonomi rakyat, khususnya di negeri Perak.
“Saya berharap dengan taklimat sebegini banyak koperasi baharu diwujudkan melalui JPKK dan secara tidak langsung kita dapat membantu kerajaan Pusat untuk mengekalkan Program Sejati MADANI seterusnya beri impak positif kepada pentadbiran, pengurusan dan komuniti kampung itu sendiri,” katanya. -MG Perak
Artikel Berkaitan: