IPOH – Tiada sebarang kes wabak demam babi afrika (ASF) direkodkan berlaku di Perak sejak tahun lalu sehingga kini walaupun ia merupakan antara negeri dengan jumlah ladang babi tertinggi di Malaysia.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, A Sivanesan berkata, tiada sebarang pengesanan jangkitan ASF berlaku di semua 85 ladang babi sejak kes terakhir direkodkan pada Oktober 2023 di Tronoh.
“Ini satu pencapaian penting memandangkan Perak merupakan pengeluar utama daging babi negara dengan pengeluaran sebanyak 17.42 juta kilogram direkodkan tahun lalu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Selasa.
Sivanesan berkata, wabak ASF di Perak mula dikesan pada babi hutan sekitar Disember 2021 sebelum jangkitan ternakan di ladang pada Mac 2022 di daerah Batang Padang.
Kata beliau, sejak dari itu, sejumlah 18 ladang telah terjejas dengan 7,760 ekor babi dilupuskan pada tahun 2022 dan 11,575 ekor lagi pada tahun 2023.
“Daripada 18 ladang yang pernah terjejas itu, 13 daripadanya telah kembali beroperasi manakala lima lagi ditutup sepenuhnya.
“Dalam kes ini, tiada gangguan bekalan daging babi berlaku, malah kadar sara diri daging babi bagi negeri ini adalah sangat tinggi iaitu 239.43 peratus.
“Ini bermaksud pengeluaran kita adalah mencukupi untuk memenuhi permintaan dalam negeri dan boleh dibekalkan ke negeri-negeri lain,” katanya lagi.
Mengulas lanjut Sivanesan memberitahu, kerajaan negeri kini giat melaksanakan penstrukturan dan pemodenan penternakan babi menerusi sistem penternakan babi moden (MPF).
Jelas beliau, usaha itu termasuk menjalinkan kerjasama dengan China untuk mempercepatkan peralihan kepada sistem MPF secara menyeluruh.
“Hampir 55 peratus permohonan untuk bertukar kepada sistem penternakan moden telahpun diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sedang dalam proses pembinaan.
“Sekiranya semua berjalan dengan baik, Perak akan menjadi negeri pertama di Malaysia yang berjaya menukar semua ladang babi konvensional kepada sistem moden dalam tempoh tiga tahun,” ujarnya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak nafi dakwaan ladang babi berhampiran masjid, penempatan penduduk