Perak belum sedia wajibkan konsep bina dan jual

IPOH – Perak masih belum bersedia untuk mewajibkan pelaksanaan konsep bina dan jual (BTS) bagi projek perumahan baharu di negeri ini.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, ini disebabkan terdapat beberapa faktor yang perlu diteliti secara lebih mendalam sebelum konsep itu dapat dilaksanakan.

Menurutnya, antara faktor termasuklah kekukuhan kewangan pemaju, khususnya pemaju berskala kecil dan sederhana, kerana BTS memerlukan modal permulaan yang jauh lebih besar.

“Selain itu, risiko kenaikan harga rumah sekiranya pemaju memindahkan kos pembiayaan awal kepada pengguna.

“Kesediaan rantaian industri seperti pembiayaan bank, kawal selia, serta insentif yang diperlukan juga perlu diambil kira supaya pelaksanaan BTS dapat dijalankan secara mampan.

“Konsep itu juga memerlukan keserasian dengan pasaran perumahan di Perak, termasuk permintaan, kemampuan rakyat, dan struktur industri pemajuan negeri,“ katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Chaw Kam Foon (PH-Menglembu) pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Ketiga, Dewan Negeri Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Rabu.

Perak belum sedia wajibkan konsep bina dan jual
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Ketiga, Dewan Negeri Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 26 NOVEMBER 2025.

Justeru, Sandrea menjelaskan sebagai persediaan awal selaras dengan hala tuju nasional, Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) telah mengadakan beberapa siri libat urus bersama pemaju, institusi kewangan, persatuan hartanah dan pemain industri bagi membincangkan perkara tersebut.

“Kita turut mendapatkan maklum balas mengenai keperluan, cabaran dan model kewangan yang sesuai serta menjalankan kajian dalaman ke atas beberapa model BTS yang telah berjaya di negeri-negeri lain.

“Di samping itu, kita juga menilai kesediaan pasaran perumahan negeri untuk pelaksanaan mengikut segmen dan kategori projek,“ ujarnya.

Katanya, usaha tersebut penting untuk memastikan sekiranya Kerajaan Persekutuan memuktamadkan pelaksanaan BTS secara lebih meluas pada masa akan datang, Perak berada dalam keadaan bersedia, termasuk dari aspek dasar, mekanisme pelaksanaan, dan kesiapsiagaan industri.

“Prinsip kita adalah jelas bahawa BTS ialah langkah pembetulan struktur, bukan hukuman kepada pemaju, tetapi jaminan kepada rakyat.

“Kerajaan negeri akan terus menyokong hala tuju nasional ke arah ekosistem perumahan yang lebih selamat dan berpaksikan pengguna,“ jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

RM8.5 juta peruntukan perumahan kepada rakyat di Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI