KONSEP Bandar Pintar atau Smart City kini menjadi pilihan dalam meningkatkan kualiti hidup penduduk, memudahkan urusan seharian dan mengoptimumkan penggunaan sumber bandar.
Tren pembangunan baharu ini sudah dilaksanakan di banyak negara dan beberapa buah bandar yang aktif antaranya Amsterdam, Barcelona, Seoul, Stockholm, Singapura, Phuket dan Jakarta.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga menggalakkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara untuk mengemukakan permohonan inisiatif Bandar Pintar memandangkan peruntukkan RM15.1 juta telah diumumkan untuk tujuan itu dalam Belanjawan 2025.
Kerajaan Perak antara yang komited menjadikan pembangunan Bandar Pintar sebagai keutamaan dalam memperkasakan ekonomi digital, memantapkan tadbir urus dan merancakkan pengembangan teknologi.
Langkah ini selaras dengan Agenda 2: Ekonomi Digital dalam Pelan Perak Sejahtera 2030, yang bertujuan menjadikan ekonomi digital sebagai sumber baharu penjanaan hasil negeri.
Pelaksanaan Bandar Pintar dapat memberi manfaat kepada rakyat khususnya dalam memudahkan urusan harian menggunakan teknologi pintar seperti aplikasi dalam talian dan sistem pengurusan automatik.
Penggunaan teknologi tersebut membantu mempercepatkan proses seperti pembayaran cukai, pengurusan aduan dan permohonan lesen akan menjadi lebih efisien.
Pada masa sama, Bandar Pintar dapat meningkatkan efisiensi pentadbiran menerusi teknologi terkini yang membolehkan kerajaan membuat keputusan yang lebih cepat berdasarkan data besar (big data), mengurangkan kelewatan dan birokrasi.
Pembangunan bandar ini juga dapat mengurangkan jurang akses kepada perkhidmatan kerajaan khususnya rakyat di kawasan luar bandar, warga emas dan golongan kurang upaya (OKU).
Perak juga secara tidak langsung dapat menarik lebih banyak pelaburan dan mencipta peluang pekerjaan baharu sekali gus membantu menyokong pembangunan ekonomi menerusi pelaksanaan Bandar Pintar.
Pendekatan ini bukan sahaja memberi fokus kepada inovasi, tetapi juga memastikan rakyat merasai kesannya secara langsung, dalam bentuk perkhidmatan yang lebih pantas, keputusan yang lebih telus dan kehidupan harian yang lebih mudah.
Menurut Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Sandrea Ng Shy Ching, setakat ini empat daripada 15 PBT di Perak telah menerima penarafan Bandar Pintar Tahap 1 (Early Adopter).
“Empat PBT terbabit adalah Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dan Majlis Daerah Kampar (MDKpr).
“Sementara itu, Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) dalam proses mendapatkan penarafan tersebut, manakala 10 PBT lain sedang merangka Pelan Tindakan Bandar Pintar masing-masing berdasarkan Blueprint Bandar Pintar Negeri Perak.
“Untuk memastikan keberkesanan pelaksanaan ini, Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan (JKTKT) telah menyarankan agar setiap PBT mengenal pasti kluster fokus Bandar Pintar mereka, menyesuaikan pelan dengan keperluan setempat,” katanya.
Menyentuh mengenai komitmen jangka panjang pelaksanaan Bandar Pintar, Shy Ching berkata, kerajaan negeri menyasarkan setiap PBT dapat mencapai tahap penarafan bandar pintar yang lebih tinggi menjelang 2040.
“Pada masa ini kerajaan negeri dalam usaha menyiapkan dan melancarkan ‘Blueprint Smart City 2040’.
“Pencapaian yang dimaksudkan adalah Majlis Daerah mencapai Tahap 2 (Developing Smart City), Majlis Perbandaran mencapai Tahap 3 (Leading Smart City) dan Majlis Bandaraya mencapai Tahap 4 (Visionary Smart City).
“Langkah ini bukan sahaja bertujuan membangunkan bandar-bandar yang progresif tetapi juga memastikan pembangunan yang inklusif, di mana semua lapisan masyarakat dapat merasakan manfaatnya.
“Sehubungan itu, kerajaan negeri amat berbesar hati untuk mengalu-alukan penglibatan dan kerjasama daripada sektor swasta, institusi akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat dalam menjayakan pelaksanaan inisiatif Bandar Pintar ini.
“Sinergi antara kerajaan dan pihak-pihak berkepentingan ini amat penting untuk memperkukuh Perak sebagai negeri yang progresif dan inklusif,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: