IPOH – Kerajaan negeri Perak menyampaikan insentif sebanyak RM1,102,000 kepada atlet termasuk pengurus serta jurulatih yang meraih pingat pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan Sukan Para Malaysia (Para SUKMA) 2024 di Sarawak baru-baru ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, insentif itu diberikan mengikut kategori yang dimenangi termasuk acara individu dan berpasukan.
Menurutnya, pada SUKMA 2024, Perak meraih 35 pingat emas, 38 perak dan 56 gangsa manakala bagi Para SUKMA, pula mereka berjaya merangkul 25 emas, 22 perak dan 20 gangsa.
“Pada SUKMA kali ini, insentif yang diberikan adalah sebanyak RM815,800 manakala untuk Para SUKMA mereka yang membawa pulang pingat menerima insentif berjumlah RM286,200. Jadi, jumlahnya lebih RM1 juta.
“Seperti yang saya sebutkan tadi kita mendapat pingat terbanyak di pertandingan yang dibuat di luar Perak dan itu menjadi satu pencapaian yang baik serta mencapai target (sasaran) kita untuk dapat 35 emas.
“Walaupun kita ada lagi satu target untuk mendapat lima teratas tapi tidak berjaya, tak mengapa, yang penting kita mendapat pungutan emas dan perak dan gangsa.
“Tapi yang menarik lagi sebahagian besar daripada mereka adalah orang yang masih lagi boleh mewakili Perak dua tahun daripada sekarang masa SUKMA di Selangor dan kita ada talent (bakat) yang akan meneruskan perjuangan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Insentif Kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA ke-21 Sarawak 2024 di Hotel Kinta Riverfront, malam tadi.
Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Perak, Mazlan Mohamad.
Sementara itu, Saarani dalam ucapannya berkata, kejayaan dicapai adalah hasil kerja keras yang ditanamkan sejak awal lagi.
“Seperti yang kita ungkapkan sebelum berangkat ke SUKMA, ‘Silver To Gold’ bukan sekadar slogan, tetapi ia telah menjadi semangat yang menjulang kita ke puncak kejayaan.
“Dengan usaha gigih, kita telah melebihi sasaran dan mencapai hasil yang amat membanggakan,” ujarnya.
Ujar beliau, kejayaan yang diraih oleh atlet Para SUKMA juga sangat mengagumkan.
“Para atlet ini telah membuktikan bahawa dengan kekuatan mental dan tekad yang tidak pernah goyah, mereka mampu mencapai kejayaan luar biasa,” katanya.
Saarani turut mengucapkan tahniah kepada atlet angkat berat wanita, Qistina Qharisya Suffia Mohd Muzani, yang telah mencipta sejarah dalam sukan angkat berat wanita dengan memecahkan tiga rekod kebangsaan.
Katanya, pencapaian ini bukan sahaja membanggakan Perak, tetapi juga membuktikan bahawa atlet wanita berpotensi besar untuk terus mengukir nama di persada sukan negara dan antarabangsa.
Dalam pada itu, silambam menjadi penyumbang pingat terbanyak sebanyak enam emas, dua perak dan dua gangsa melayakkan mereka menerima insentif keseluruhan berjumlah RM58,500.
Pasukan hoki lelaki pula menamatkan penantian 10 tahun bagi mendapatkan pingat emas dan mereka menerima insentif berjumlah RM50,500 manakala kemarau sukan boling sejak 18 tahun berakhir apabila mendapat emas dalam acara itu serta membawa pulang insentif sebanyak RM17,000.
Para catur pula menunjukkan kehebatan mereka dengan menerima insentif tertinggi berjumlah RM74,500 selepas berjaya membawa pulang lapan emas, lima perak dan tiga gangsa pada Para SUKMA lalu. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak puas hati capai sasaran 35 pingat emas pada Sukma 2024