Perak beri ‘lampu hijau‘ MBI kaji syor meluaskan larangan jual arak

IPOH – Kerajaan Negeri Perak memberi ‘lampu hijau’ kepada Majlis Bandaraya Ipoh untuk meneruskan kajian cadangan meluaskan larangan penjualan minuman keras di kawasan majoriti penduduk Islam seperti yang sudah dilaksanakan di Gugusan Manjoi.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, setakat ini pihaknya telah mendapatkan maklum balas MBI mengenai syor yang sedang dalam peringkat kajian dan akan melalui proses serta prosedur jawatankuasa sebelum dikemukakan kepada kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri tiada halangan untuk MBI meneruskan kajian tersebut mengikut bidang kuasa MBI yang diperuntukkan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan, Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Bandaraya Ipoh) 2017 selain pematuhan peraturan minuman beralkohol/ peraturan-peraturan makanan 1985 dan Akta Makanan 1983,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, kajian yang dilaksanakan MBI akan mengambil kira pelbagai aspek termasuk data demografi serta meneliti secara terperinci penetapan zon bagi pelaksanaan cadangan tersebut berdasarkan Kelas Guna Tanah (KGT) yang digariskan dalam Rancangan Tempatan Bandaraya Ipoh (RTBI) 2035.

“MBI perlu melakukan kajian menyeluruh supaya cadangan berkenaan tidak hanya tertumpu kepada usaha memelihara kemaslahatan umat Islam, tetapi mengambil kira keperluan mewujudkan peraturan yang dapat menjamin kerukunan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum.

“Kerajaan negeri menegaskan bahawa sebarang ketetapan yang dibuat hendaklah bersifat inklusif dengan mengambil kira maklum balas masyarakat, mencerminkan kehendak sebenar penduduk setempat dan mestilah selari dengan panduan undang-undang yang sedia ada,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya sebarang perbalahan dan pertikaian tidak sepatutnya timbul kerana ia hanya akan mencetuskan ketegangan dan kekeliruan awam.

“Sebaliknya semua pihak sewajarnya memberi ruang kepada MBI untuk memperhalusi cadangan tersebut,” ujarnya.

Ahad lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dilaporkan berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) disaran mengekalkan dasar sedia ada atau status quo berhubung isu penjualan minuman keras di premis perniagaan dalam kawasan majoriti penduduk beragama Islam.

Katanya, ketetapan itu bagi menjaga keharmonian dan hubungan antara masyarakat berbilang kaum selain mengelak dijadikan sentimen politik.

Terdahulu, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin memaklumkan, MBI telah mengenal pasti beberapa kawasan yang menuntut larangan menjual minuman keras melibatkan Tambun, Rapat Setia dan Kampung Sungai Rokam.– MG Perak

Artikel Berkaitan:

Larangan jualan arak: Yang tak boleh minum jangan beli – Nga

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI