SUNGAI SIPUT – Kerajaan Perak memberi tumpuan utama kepada masalah tanah jerlus dan kekurangan bekalan air akibat perubahan iklim dalam usaha meningkatkan kadar sara diri (SSL) beras di negeri ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kadar SSL beras di Perak pernah berada pada paras 103 peratus beberapa tahun sebelum ini.
Menurut beliau, bagaimanapun faktor tanah jerlus dan perubahan iklim hingga menyebabkan bekalan air tidak mencukupi menyebabkan kadar berkenaan turun kepada 93 peratus buat masa ini.
Katanya, projek pemindahan air daripada Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah sedang giat dilaksanakan bagi memastikan pengairan sawah padi di daerah Kerian dapat dipenuhi.
“Itu sebab kita berusaha bersungguh-sungguh untuk menjayakan projek pemindahan air daripada Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah.
“Sebab itu cara yang terbaik untuk memastikan bekalan air pengairan ini mencukupi,” katanya.
Katanya selepas hadir hadir pada Majlis Penutup Perak Agrofest 2025 di Ladang Infoternak, Sungai Siput (U), di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun.
Tambah Saarani, pihaknya percaya sekiranya projek pemindahan air daripada Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah siap kelak, kadar SSL beras di Perak mampu kembali kepada 100 peratus.
“Kalau itu berlaku, saya percaya, sebab Kerian ini adalah jelapang padi kedua terbesar. Jadi jelapang padi ni akan terus kita imarahkan,” katanya.
Musim kemarau sering melanda utara negeri Perak termasuk Kerian dan menyebabkan paras Tasik Bukit Merah yang menjadi punca pengairan menyusut teruk sehingga menganggu aktiviti pertanian di kawasan tersebut.
Pada Ogos 2024, Kerajaan Persekutuan secara dasarnya bersetuju meluluskan anggaran peruntukan RM4 bilion bagi pelaksanaan projek penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah di Kerian. -MG Perak