IPOH – Sebanyak RM1.04 juta dana sumbangan berjaya dikutip semua masjid dan Surau Diri Jumaat di Perak untuk disalurkan ke Gaza, Palestin melalui Tabung Bencana dan Kemanusiaan Masjid-Masjid Negeri Perak sejak awal Oktober tahun lalu.
Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, penyaluran sumbangan sudah dilakukan secara berperingkat iaitu RM700,000 kepada Yayasan Al-Quds, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) (RM244,641) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) (RM100,000).
Katanya, kutipan dan sumbangan tersebut adalah sebagai tanda solidariti serta sokongan umat Islam di seluruh Perak ke atas rakyat di Palestin yang sedang berdepan keganasan tentera zionis Israel.
“Kutipan ini akan diteruskan dan sesiapa yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian di masjid-masjid dan Surau Diri Jumaat di kariah masing-masing. Kita tidak hentikan selagi mana situasi di Gaza masih berterusan.
“Selepas ini nanti akan ada pembangunan pasca peperangan yang memerlukan dana lebih banyak untuk membangunkan balik Gaza. Jangan ragu-ragu, insyaALLAH sumbangan ini sampai kepada mereka di sana,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan penyerahan sumbangan Tabung Bencana dan Kemanusiaan Masjid-Masjid Negeri Perak kepada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri Perak) di sini, pada Isnin.
Hadir sama pada majlis penyerahan itu, Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid dan Imam Besar Masjid Negeri Perak, Abdul Farid Salleh.
Sementara itu, Mohd Azmi memberitahu, sumbangan diberikan oleh masjid-masjid di Perak itu akan diagihkan melalui pembelian barangan keperluan di Gaza selain pemberian wang tunai kepada penduduk yang terjejas.
“Antara barang-barang keperluan yang akan diedarkan meliputi makanan, ubat-ubatan serta keperluan untuk wanita dengan keutamaan diberikan kepada golongan wanita dan kanak-kanak,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Harith Fadzilah meminta agar semua masjid, Surau Diri Jumaat dan surau di Perak untuk meneruskan bacaan Qunut Nazilah selepas solat fardu.
“Kita tidak ada keluarkan pekeliling untuk hentikannya. Ini kerana kita melihat bahawa doa kita sangat penting untuk memberikan kekuatan dan semangat kepada saudara-saudara kita di Gaza,” jelas beliau. – MG Perak
Artikel Berkaitan: