Perak Bison sasar empat terbaik STL 2025

IPOH Perak Bison menyasarkan kedudukan empat teratas saingan Liga Sepak Takraw (STL) 2025 yang akan membuka tirainya pada 17 Jun ini di Terengganu.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, Perak Bison tampil dengan kekuatan lapan orang pemain, terdiri daripada tujuh pemain tempatan dan seorang pemain import dari Thailand.

Menurutnya, enam daripada mereka adalah pemain sedia ada, manakala dua lagi adalah muka baharu yang dipilih sebagai pelapis masa depan pasukan.

Perak Bison sasar empat terbaik STL 2025
Pemain sepak takraw negeri Perak ketika sesi bertemu dengan peminat pada Majlis Pelancaran Jersi dan Pengenalan Pemain Perak Bison ke Liga Sepak Takraw (STL) 2025 di Angsana Ipoh Mall, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 14 JUN 2025.

“Pasukan ini bukan asing dalam STL. Kita pernah menjuarai kejohanan ini pada tahun 2019 dan 2023.

“Untuk musim 2025, saya difahamkan barisan kejurulatihan menyasarkan untuk berada dalam kelompok empat pasukan terbaik bagi melayakkan diri ke (STL) Championship Cup pada September,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Jersi dan Pengenalan Pemain Perak Bison 2025 di Angsana Mall, di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Presiden Persatuan Sepak Takraw Perak Darul Ridzuan (Persedar), Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Perak Bison sasar empat terbaik STL 2025
Para peminat membeli jersi baharu sepak takraw negeri Perak pada Majlis Pelancaran Jersi dan Pengenalan Pemain Perak Bison ke Liga Sepak Takraw (STL) 2025 di Angsana Ipoh Mall, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 14 JUN 2025.

Dalam pada itu, Perak Bison turut memperkenalkan dua pemain baharu iaitu Muhammad Nazrein Daniel Mohd Kamal Mustafa (apit kanan) dan Najmi Syahfiq Anuar (tekong).

“Dua pemain yang kita ambil ini masih layak beraksi untuk SUKMA (Sukan Malaysia) Selangor 2026 dan menerusi platform STL ini, mereka akan dapat pengalaman.

“STL adalah kejohanan yang sangat kompetitif. Ia medan terbaik bagi pemain muda ini mengasah bakat dan belajar dari pemain berpengalaman,” ujarnya.

Khairudin turut merakamkan penghargaan kepada Persedar atas kejayaan membentuk pasukan yang mantap serta berjaya menarik pelbagai pihak untuk menaja Perak Bison.

“Antara penaja yang tampil termasuklah MBInc (Perbadanan Menteri Besar Perak), AFX Jersey Sdn Bhd serta syarikat Minyak Afiat Sdn Bhd.

“Ini bukti keyakinan terhadap potensi pasukan. Bila kejayaan dicipta, lebih ramai penaja akan datang membantu,” katanya.

Perak Bison sasar empat terbaik STL 2025
Pemain sepak takraw negeri Perak pada Majlis Pelancaran Jersi dan Pengenalan Pemain Perak Bison ke Liga Sepak Takraw (STL) 2025 di Angsana Ipoh Mall, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 14 JUN 2025.

Beliau turut menyeru seluruh rakyat Perak supaya hadir memberikan sokongan kepada Perak Bison, terutamanya apabila negeri itu menjadi tuan rumah bagi minggu kelima STL di Stadium Indera Mulia, di sini pada 13 Ogos ini.

Enam pemain lain yang turut beraksi bagi Perak Bison adalah Muhamad Asyraaf Abdul Hadi dan Aidil Aiman Azwawi posisi apit kiri, Muhammad Noraizat Mohd Nordin dan Madzrul Aziq Mat Tahir posisi apit kanan.

Meor Mohamad Zulfikar Mat Amin dan satu-satunya pemain import Perak Bison, Kritsada Sungvung akan bermain di posisi tekong.

Saingan STL 2025 melibatkan enam Grand Prix (GP) bermula di Terengganu dari 17 hingga 22 Jun diikuti Negeri Sembilan (1 hingga 7 Julai), Kuala Lumpur (8 hingga 14 Julai), Johor (5 hingga 11 Ogos), Perak (13-17 Ogos) dan berakhir di Pulau Pinang (20 hingga 25 Ogos). – MG Perak

Artikel Berkaitan:

MSN Perak majlis sukan pertama dilengkapi kolam hidroterapi bernilai RM1.92 juta

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI