Perak bukan lagi negeri pinggiran dalam peta pelaburan negara

PENGIKTIRAFAN wajar diberikan kepada Kerajaan Negeri Perak ekoran kejayaan merekod peningkatan nilai pelaburan hampir 80 peratus pada 2025 dengan nilai RM15.755 bilion berbanding RM8.759 bilion tahun sebelumnya.

Malah peningkatan nilai pelaburan yang sangat ketara itu turut diiringi kenaikkan jumlah pertambahan projek (560) dan potesi pekerjaan (10,704) berdasarkan laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Bercakap kepada Malaysia Gazette (MG) Perak, Ketua Jabatan Ekonomi Fakulti Pengurusan Dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Zainizam Zakariya berkata, kejayaan kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad itu juga jauh lebih laju daripada pertumbuhan keseluruhan pelaburan diluluskan Malaysia yang meningkat 11 peratus pada 2025 (RM384.4 bilion) berbanding 2024 (RM426.7 bilion).

“Secara keseluruhan, prestasi Perak pada 2025 memang wajar dianggap sangat positif kerana berdasarkan data rasmi MIDA, Perak merekodkan pelaburan diluluskan sebanyak RM15.755 bilion pada 2025 berbanding RM8.759 bilion dengan kenaikan sebenar ialah sekitar 79.9 peratus atau lebih tepat disebut hampir 80 peratus.

Dr Zainizam

“Sektor pembuatan menyumbang RM9.389 bilion, iaitu kira-kira 59.6 peratus daripada jumlah pelaburan negeri, melalui 98 projek dan 10,010 pekerjaan, bersamaan sekitar 93.5 peratus daripada keseluruhan pekerjaan yang diwujudkan,” katanya.

Menurut beliau, meskipun Perak belum berada dalam kelompok lima negeri teratas seperti Johor, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kedah, prestasinya sudah mengatasi beberapa negeri lain seperti Melaka, Sabah, Sarawak, Pahang dan Terengganu.

“Yang menarik, Perak mencatat 560 projek, lebih tinggi daripada Negeri Sembilan (295), Melaka (312) dan Sarawak (208).

“Ini menunjukkan kejayaan Perak bukan sekadar bergantung pada beberapa projek besar sahaja, tetapi melibatkan aktiviti pelaburan yang lebih meluas,” katanya.

Perak destinasi pelabur buka, kembang perniagaan

Mengulas lanjut Zainizam berkata, Perak kini semakin jelas muncul sebagai negeri tumpuan baharu pilihan pelabur walaupun belum berada dalam liga utama melibatkan Johor, Selangor atau Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dari segi saiz pelaburan.

Jelasnya, berdasarkan data rasmi 2025, Perak berada di kedudukan ketujuh dari segi nilai pelaburan diluluskan dalam kalangan negeri yang mempunyai lokasi projek yang ditentukan, di belakang Johor, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kedah dan Negeri Sembilan.

Gambar Fail: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bergambar selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Lumut Maritime Terminal 2 di Segari, Lumut. Foto ABDULLAH YUSOF, 04 MAC 2024.

“Namun, dari segi keluasan aktiviti, 560 projek yang direkodkan Perak menunjukkan negeri ini bukan bergantung kepada satu dua projek mega sahaja.

“Ini penting kerana pelabur lazimnya melihat bukan sahaja nilai pelaburan, tetapi juga kestabilan ekosistem, kesiapsiagaan industri, kemudahan operasi dan peluang pengembangan jangka sederhana,” katanya.

Katanya lagi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) juga turut meletakkan Perak sebagai salah satu daripada enam penyumbang terbesar kepada ekonomi Malaysia pada 2024.

“Jadi, saya melihat Perak hari ini bukan lagi negeri pinggiran dalam peta pelaburan negara, tetapi sedang naik sebagai destinasi yang semakin serius dipertimbangkan oleh pelabur untuk membuka atau mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.

Perak berpotensi jadi negeri tumpuan pencari pekerjaan

Zainizam berkata, dengan kejayaan ini juga Perak berpotensi menjadi negeri tumpuan bagi golongan muda di negara ini mencari peluang pekerjaan.

Katanya meskipun berada di belakang Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Kedah, negeri ini sudah berada di landasan yang lebih baik berbanding negeri-negeri lain.

Gambar Fail: Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melawat reruai pameran pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Industri QL Innofood Park di Bagan Datuk.
Turut sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad. Foto ABDULLAH YUSOF 25 JANUARI 2026.

“Dari sudut angka, 10,704 potensi pekerjaan yang direkodkan Perak pada 2025 meletakkan negeri ini dalam kelompok yang agak baik, walaupun masih di belakang Kuala Lumpur (82,985), Selangor (61,311), Pulau Pinang (28,570), Johor (24,584) dan Kedah (14,705),” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun untuk Perak benar-benar menjadi tumpuan anak muda, isu utama bukanlah bergantung kepada  jumlah pekerjaan semata-mata, tetapi kualiti pekerjaan juga memainkan peranan.

Katanya, ini kerana kadar pengangguran Perak pada 2024 masih 3.6 peratus, lebih tinggi daripada kadar nasional 3.2 peratus dan lebih tinggi berbanding Melaka 1.6 peratus serta Pahang dan Pulau Pinang yang masing-masing 2.0 peratus.

“Maknanya, Perak perlu memastikan pelaburan ini diterjemahkan kepada pekerjaan berkemahiran, gaji yang kompetitif dan laluan kerjaya yang jelas supaya belia bukan sekadar bekerja di Perak, tetapi mahu terus kekal di Perak.

“Jadi, untuk benar-benar menjadi tumpuan anak muda, isu utama bukan jumlah pekerjaan semata-mata tetapi kualiti pekerjaan,” katanya.

Pemangkin kuat kepada Perak Sejahtera 2030

Ditanya sekiranya kejayaan ini mampu menjadi antara pemacu dalam merancakkan lagi Perak Sejahtera 2030, Zainizam berkata, beliau melihat pencapaian pelaburan ini mampu menjadi pemangkin yang kuat ke arah itu.

Jelas beliau, ini kerana agenda Pelan Perak Sejahtera 2030 sendiri sangat rapat dengan prasyarat pelaburan moden antaranya ekonomi digital, pembangunan bakat, TVET, keputusan berasaskan data, tadbir urus projek dan peluang pekerjaan berkualiti.

Gambar Fail: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyempurnakan gimik perasmian Majlis Pemeteraian Perjanjian Usaha Sama Silver Valley Technology Park (SVTP) antara Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dengan Perak Corporation Berhad di Hotel Casuarina Meru, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 08 JANUARI 2024.

Katanya lagi, dalam erti kata lain, pelaburan memberi tenaga penggerak, manakala Perak Sejahtera 2030 memberi arah tuju.

“Jika dibandingkan dengan negeri-negeri seperti Johor dan Pulau Pinang yang berjaya membina kekuatan pelaburan melalui ekosistem industri dan bakat, Perak kini mempunyai peluang untuk menggunakan momentum 2025 bagi mempercepat agenda pembangunan negerinya sendiri.

“Cuma satu perkara penting perlu diingat bahawa pelaburan diluluskan lazimnya mengambil masa sekitar 18 hingga 24 bulan untuk melalui proses pelaksanaan sebelum benar-benar beroperasi.

“Sebab itu, fasa selepas ini sangat kritikal, di mana kejayaan sebenar iaitu memastikan projek diluluskan benar-benar dilaksanakan menjadi kilang, perniagaan, pekerjaan dan pendapatan yang sampai kepada rakyat dan mewujudkan limpahan manfaat yang seimbang kepada bandar serta luar bandar,” katanya.

Zainizam berkata, secara keseluruhannya, prestasi pelaburan Perak pada 2025 merupakan pencapaian yang amat positif dan memberi isyarat bahawa negeri ini semakin berjaya membina imej sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif.

Katanya lagi, meskipun kejayaan sebenar bukan hanya terletak pada angka pelaburan yang diluluskan, tetapi pada pelaksanaan projek, penciptaan pekerjaan berkualiti, penglibatan vendor tempatan serta pengagihan limpahan ekonomi yang lebih meluas kepada rakyat Perak. -MGPerak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI