IPOH – Kerajaan Negeri Perak melihat potensi besar dalam pembangunan aplikasi Momentum oleh MojoNation.Ai sebagai satu langkah ke hadapan dalam memperkukuh ekosistem pembelajaran dan digital di negeri ini.
Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak Mohd Azlan Helmi Helmi berkata, aplikasi berkenaan dibangunkan bagi memudahcara proses pembelajaran pelajar serta membuka peluang kepada pembangunan perniagaan berasaskan teknologi, seiring dengan agenda pendigitalan kerajaan negeri.
Menurutnya, aplikasi yang diguna pakai EdQuest International School (EdQuest) dan Rochford’s Education itu dilihat satu segmen pendidikan yang baik melibatkan bidang kecerdasan buatan (AI).
“Saya nampak aplikasi ini menarik. Di samping itu, saya melihat keseluruhan sesi pembelajaran berunsur digital. Kita lihat ada potensi untuk selaraskan bersama kerajaan negeri di bawah Digital Perak.
“InshaAllah, saya akan aturkan perjumpaan Digital Perak bersama dengan pihak EdQuest untuk berbincang bagaimana untuk kita membantu sekolah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad melancarkan aplikasi Momentum by MojoNation.Ai di Hotel Travelodge di sini malam ini.
Hadir sama, Pengasas EdQuest International School dan Rochford’s Education, Harry Seggu.
Dalam pada itu, Mohd Azlan berkata, kerajaan negeri sedang menyiapkan kerangka pembangunan AI bagi negeri ini, yang akan dibentangkan kepada Menteri Besar dan barisan Exco dalam masa terdekat.

“Kerangka itu sedang kita siapkan untuk pembentangan kepada Menteri Besar dan juga para Exco. Selepas itu baru kita angkat kepada perbincangan di peringkat Kementerian Digital pula.
“Kertas kerja tersebut memang kita sedang siapkan. Saya rasa dalam dua minggu, inshaAllah kita akan siap untuk pembentangan,” ujarnya.
Katanya, selepas mendapat mandat daripada Menteri Besar dan Exco, kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan bersama pihak EdQuest bagi membincangkan kerjasama strategik yang boleh dijalankan.
“Yang pertama, kita akan melihat bagaimana EdQuest boleh membantu kerajaan negeri dalam usaha yang baik ini. Sebagaimana saya sebut tadi, dalam Pelan Perak Sejahtera 2030, memang kita ada flagship dan banyak segmen yang kita tuju khususnya dalam bidang AI,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa pelancaran portal Perak 2.0 baru-baru ini turut membuka ruang kepada pelbagai platform digital untuk diselaraskan dengan inisiatif kerajaan negeri.
Tambahnya, kerajaan negeri juga menyeru pihak luar yang membangunkan aplikasi berteraskan AI untuk tampil dan bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam memperkasa ekosistem digital Perak.
Sementara itu, Harry berkata, sekolah berkenaan adalah sekolah antarabangsa pertama di Ipoh, yang mengetengahkan pembelajaran digital.
“Pelajar tidak perlu membawa beg atau buku teks ke sekolah. Mereka hanya menggunakan komputer riba dan tablet.
“Tahun ini, kami melihat adanya peluang besar dalam bidang AI, jadi kami turut melibatkan diri dalam industri ini kerana AI sedang mengubah cara kita belajar, berurus niaga dan menjalani kehidupan seharian.
“Ini adalah fasa pertama dan kita akan menambah baik modul di dalam aplikasi tersebut pada fasa kedua tahun depan,“ katanya yang memaklumkan aplikasi itu hanya mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
MCMC, Digital Perak jalin kerjasama laksana program Ipoh Bandar Pintar


