LENGGONG – Kerajaan Perak bercadang untuk menambah bilangan lori jualan bergerak supaya penduduk di luar bandar dapat membeli barangan keperluan asas dengan harga yang lebih murah menerusi Jualan Sejahtera Rakyat.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, setakat ini terdapat empat buah lori bergerak beroperasi di sekitar Perak mengikut masa dan lokasi yang ditetapkan.
Menurutnya, kerajaan negeri telah memperuntukkan subsidi sebanyak RM860,000 untuk Jualan Sejahtera Rakyat pada tahun lalu bagi memastikan rakyat dapat membeli barangan keperluan dengan harga 20 peratus lebih rendah berbanding pasaran.
“Buat masa ini, kita ada empat lori jualan bergerak yang ditempatkan mengikut masa dan lokasi tertentu. Dengan adanya jualan ini, rakyat dapat membeli barang jauh lebih murah berbanding tempat lain.
“Kita juga sedang berusaha menambah bilangan lori baharu bagi membolehkan lebih banyak lokasi luar bandar mendapat manfaat, bukan sahaja di Lenggong tetapi juga di kawasan lain terutama di kawasan luar bandar.
“Pada masa sama, kita mahu jualan ini benar-benar sampai kepada semua lapisan rakyat, terutama mereka yang memerlukan. Semakin banyak lori ditambah, semakin luas capaian kita untuk membantu rakyat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada program One Stop Center (OSC) Sejahtera Sosial Negeri Perak Peringkat Daerah Lenggong Tahun 2025 di Kompleks Komuniti Desa Kemas Lenggong, pada Khamis.
Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed.
Saarani berkata, usaha ini adalah sebahagian daripada strategi kerajaan negeri untuk memastikan kebajikan rakyat sentiasa diutamakan, khususnya dalam mendepani kos sara hidup yang semakin mencabar.
Pada program tersebut, Jualan Sejahtera Rakyat anjuran Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) dan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) menawarkan sebanyak 74 jenis barangan keperluan asas dengan potongan harga sehingga 20 peratus.
Antara tawaran istimewa yang mendapat sambutan hangat ialah seekor ayam pada harga RM6 dan sepapan telur ayam pada harga RM8. – MG Perak
Pada program tersebut, Jualan Sejahtera Rakyat anjuran Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) dan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) menawarkan sebanyak 74 jenis barangan keperluan asas dengan potongan harga sehingga 20 peratus.
Antara tawaran istimewa yang mendapat sambutan hangat ialah seekor ayam berharga RM6 dan sepapan telur ayam pada harga RM8. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Jualan Sejahtera Rakyat: Perlu diteruskan, bantu kurangkan beban