IPOH – Kerajaan Negeri Perak dan pentadbiran di Bandar Raya Cape Town di Afrika Selatan secara dasar bersetuju untuk meneroka peluang bekerjasama antara kedua-dua pihak.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerjasama itu melibatkan pembangunan sektor ekonomi, pelancongan dan industri maritim.
Kataya, perkara itu dipersetujui susulan lawatan Delegasi Kerajaan Negeri Perak yang diketuai beliau dengan Pegawai Tertinggi Kerajaan Western Cape di Cape Town, pada Khamis waktu tempatan.
Menurut Saarani, Pegawai Tertinggi Western Cape diketuai Timbalan Ketua Pengarah dari Jabatan Pembangunan Ekonomi dan Pelancongan Cape Town, Rashid Toefy.
“Pertemuan ini disusuli pembentangan oleh InvestPerak (Pusat Pengurusan Pelaburan Perak) dan PKNP (Perbadanan Kemajuan Negeri Perak) berkenaan peluang pelaburan dan landskap semasa pembangunan ekonomi di Negeri Perak.
“Serta, inisiatif pembangunan projek Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) yang akan dibangunkan secara usaha sama oleh PKNP dan Port of Antwerp.
“Semoga hasil daripada pertemuan ini dapat mengeratkan lagi hubungan dua hala dan mampu melimpahkan lebih banyak kemakmuran buat Negeri Perak,” katanya menerusi hantaran pada laman Facebook, pada Jumaat.
Delegasi Kerajaan Negeri Perak turut disertai Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah serta Ketua Eksekutif PKNP Datuk Redza Rafiq Abdul Razak.
Dalam siri lawatan kerja pada Rabu, Saarani berkata, Perak berhasrat untuk turut menjalinkan kerjasama strategik dengan Port of Cape Town sebagai usaha menjadikan LuMIC sebagai ‘EU-Asia Gateway’ atau Pintu Masuk EU-Asia.
Kata beliau, perkara itu susulan kunjungan delegasi negeri ke Port of Cape Town yang merupakan antara hab pelabuhan utama logistik dan maritim di Benua Afrika.
“Kita juga mahu meneroka kepakaran dan idea baru daripada mereka bagi memperkuat sektor maritim di Perak, serta membangunkan ekonomi negeri melalui industri itu,” katanya lagi.
Pada Khamis pula, Saarani berkata, Delegasi Kerajaan Negeri Perak mengadakan pertemuan dan sesi dialog bersama Kumpulan Pengurusan Tertinggi Institut Madina.
Beliau memberitahu, pada pertemuan itu Presiden Institut Madina, Syaikh Muhammad Yahya al Ninowy memberikan taklimat lengkap berhubung perihal institusi pengajian Islam itu kepada para delegasi.
“Perbincangan ini penting untuk kita memahami hasrat dan perancangan mereka bagi menubuhkan sebuah hub pengajian Islam baharu di Negeri Perak.
“Semoga menerusi pertemuan ini, mampu mengeratkan lagi hubungan dua hala yang sedia terjalin serta mampu menjadi jambatan yang menguatkan silaturrahim dengan negara-negara Islam di seluruh dunia,” tambah beliau. – MG Perak
Artikel Berkaitan: