IPOH – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP) Perak mencatatkan sebanyak 935 kes kemalangan di tempat kerja sepanjang tahun lalu.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, daripada jumlah tersebut, 15 daripadanya adalah kes maut.
Menurutnya, jumlah itu turut meliputi 30 kes hilang upaya kekal (HUK) dan 890 kes tidak hilang upaya kekal (THUK).
“Bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini, sebanyak 290 kes kemalangan di tempat kerja dicatatkan melibatkan empat kes maut, tiga ke HUK dan 283 ke THUK.
“Selain itu, 458 kes dilaporkan kepada JKKP Perak berkaitan penyakit dan keracunan pekerjaan di pada 2024 dengan masalah hilang pendengaran adalah kes tertinggi iaitu 450 kes melibatkan sektor pembuatan dan pengilangan.
“Bagi tahun 2025, sehingga bulan Mac, JKKP Perak menerima sebanyak 158 kes pelaporan penyakit dan keracunan pekerjaan,“ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Sedunia Bagi Keselamatan Kesihatan Pekerjaan peringkat negeri Perak 2025 dan Sesi Libat Urus SOHELP bersama Tempat Kerja Berisiko di Hotel Casuarina @ Meru, Ipoh, pada Isnin.
Hadir sama, Timbalan Pengarah (Operasi) JKKP Perak, Basharuddin Abd Rahman dan Ketua Seksyen Higien Industri JKKP Perak, K Pavintheran.
Dalam perkembangan sama, Sivanesan menjangkakan angka melibatkan kemalangan di tempat pekerjaan ini akan meningkat susulan projek-projek mega yang sedang dibangunkan di negeri ini.
“Angka ini akan meningkat pada masa akan datang memandangkan terdapat beberapa projek besar seperti Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC); Taman Perindustrian Bersepadu Hijau Kerian (KIGIP), Kerian; Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) di Proton City, Tanjung Malim; Lumut dan Chemor Industrial City akan dibangunkan di Perak.
“Justeru, kita memerlukan sekitar 100,000 pekerja untuk melaksanakan kerja-kerja melibatkan projek tersebut.
“Maka kita harus bersedia dan JKKP mempunyai tanggungjawab yang amat berat, mungkin perlu tambah kakitangan kerana yang sedia ada memang tidak mencukupi dalam situasi ini,“ jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berharap Kementerian Sumber Manusia akan menghantar lebih ramai pegawai berpengalaman dalam bidang tersebut. – MG Perak
Artikel Berkaitan: