TELUK INTAN – Negeri Perak mencatatkan pencapaian cemerlang dengan kutipan hasil tertinggi pada tahun lalu iaitu RM1.32 billion.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, Perak juga antara lima negeri terbaik dalam aspek tadbir urus kewangan selepas menerima pengiktirafan Sijil Ketua Audit Negara Tanpa Teguran bagi Penyata Kewangan Negeri 2023.

“Tahun ini kerajaan telah menetapkan sasaran cukai langsung pada RM200.8 billion yang akan menyumbang kepada hampir 50 peratus jumlah hasil kerajaan persekutuan.
“Angka ini menunjukkan dana dari sumber cukai langsung ini merupakan nadi kepada kelangsungan pembangunan dan kesejahteraan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Menara Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang dikenali sebagai Menara HASiL Teluk Intan, dekat sini, yang disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, pada Selasa.
Turut berangkat ke majlis perasmian, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Keberangkatan baginda diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin.
Tambah Hui Ying, sehingga 13 Februari lalu, lebih daripada 11,600 pembayar cukai Fasa Dua telah menggunakan sistem e-invois, manakala Fasa Tiga mencatatkan penyertaan awal secara sukarela 7,700 pembayar cukai.
Menurut beliau, ia menunjukkan trend positif apabila seramai 24,700 pembayar cukai telah menggunakan sistem berkenaan yang melibatkan pengeluaran sekitar 173 juta e-invois
“Kerajaan yakin sistem ini dilihat berkesan untuk mengurangkan ketirisan cukai ke tahap optimum untuk kebaikan dan kemakmuran negara,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: