Perak catat penurunan 73 peratus kes denggi

IPOH – Situasi demam denggi di negeri Perak mencatatkan 1,851 kes pada tahun 2025, berbanding 6,924 kes bagi tahun 2024, iaitu penurunan sebanyak 73.27 peratus atau 5,073 kes.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A Sivanesan berkata, bagi Minggu Epidemiologi 53 iaitu antara 28 Disember hingga 3 Januari, sebanyak 29 kes denggi yang didaftarkan berbanding 69 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, dalam tempoh itu juga terdapat tujuh daerah yang melaporkan kes denggi iaitu Kinta dengan 18 kes, Kampar empat kes, serta Batang Padang dan Muallim masing-masing melaporkan dua kes.

“Manakala Manjung, Hilir Perak dan Larut Matang dan Selama (LMS) masing-masing melaporkan satu kes.

“Secara kumulatif dan kadar kejadian, walaupun dalam tempoh cuti sekolah, semua daerah menunjukkan penurunan kes berbanding tahun lepas dan juga median lima tahun,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Isnin.

kes denggi Perak turun 73 peratus penurunan kes denggi Perak 2025, statistik denggi Perak, kes denggi Ipoh dan Kinta, denggi Perak Sivanesan, situasi denggi negeri Perak
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A. Sivanesan ketika sidang media berkenaan situasi semasa kes Demam Denggi di Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, pada Isnin. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 05 JANUARI 2026.

Dalam pada itu Sivanesan berkata, kadar kematian di Perak akibat denggi juga mencatatkan penurunan dengan dua kes bagi tahun 2025 berbanding 17 kes bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Malah kata beliau, Perak juga mencatatkan sifar kes kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) disebabkan demam berkenaan.

Dalam perkembangan berasingan, Sivanesan memaklumkan, terdahulu beliau menerima kunjungan hormat daripada Pengarah Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) yang baharu, Dr. Fakhruddin Amran yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Datuk Dr Feisul Idzwan Mustapha.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A Sivanesan (tengah) menerima kunjungan Pengarah Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) yang baharu, Dr. Fakhruddin Amran (kanan). Foto Ihsan Pejabat Exco.

Kata beliau, dalam sesi kunjungan itu Dr Fakhruddin memaklumkan kepada beliau tentang beberapa perkara termasuk isu kerusi pelawat rosak sebagaimana yang tular di media sosial sebelum ini telah diganti dengan kerusi yang baru.

“Saya maklumkan kepada Dr Fakhruddin dan Dr Feisul Idzwan bahawa jika terdapat sebarang permasalahan tentang fasiliti awam di premis kesihatan, segera ambil tindakan yang perlu.

“Jika mempunyai masalah daripada segi dana, maklumkan kepada saya dan kerajaan negeri akan cuba menyelesaikan perkara itu kerana ini adalah soal keperluan asas,” katanya lagi.

Dr Fakhruddin, 50, menggalas tugas sebagai Pengarah HRPB berkuatkuasa 15 Disember lalu bagi menggantikan Dr Saiful Azlan Sharif yang dilantik sebagai Pengarah Kesihatan Negeri Pahang.

Beliau yang juga anak kelahiran Ipoh itu sebelum ini pernah menjawat jawatan sebagai Pengarah Hospital Banting di Selangor selama enam tahun. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

1,213 kes, satu kematian demam denggi di Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI