IPOH – Kadar kemalangan maut di negeri Perak sepanjang tempoh tahun ini sehingga November mencatatkan penurunan 31 kes atau lima peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, sebanyak 610 kes kemalangan yang menyebabkan kematian direkodkan setakat ini berbanding 626 kematian bagi tahun 2024.
Katanya, ia sebahagian daripada 39,259 kes kemalangan yang dicatatkan berlaku di negeri ini dalam tempoh sama dengan menyaksikan penurunan 757 kes atau dua peratus pada tahun lalu.
“Walaupun trend keseluruhan kemalangan menunjukkan penurunan, beberapa kategori kenderaan mencatat peningkatan ketara dan memerlukan perhatian segera seperti kenderaan motosikal, lori dan bas.
“Statistik kematian mengikut jenis kenderaan yang paling tinggi adalah motosikal iaitu 436 kes, diikuti dengan kereta (74 kes), lori (36 kes), bas (15 kes) dan pacuan empat roda (sembilan kes),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Program Advokasi Kesedaran Keselamatan Jalan Raya (Op Kerja) Tahun 2025 di Unisem dekat Kawasan Perindustrian Pulai Jaya, Simpang Pulai, pada Isnin.
Noor Hisam memaklumkan, Perak juga mencatatkan purata 117 kes kemalangan sehari bagi tahun 2025 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya iaitu 120 kes sehari.
Selain itu kata beliau, setakat ini juga Polis Perak merekodkan 270 kes masing-masing bagi kemalangan parah dan kecederaan ringan serta 37,531 kes kemalangan yang hanya melibatkan kerosakan kenderaan.

“Walaupun statistik menunjukkan penurunan keseluruhannya, Polis Perak tetap memandang serius peningkatan kes kemalangan melibatkan motosikal, bas, dan lori.
“Keselamatan pengguna jalan raya kekal sebagai keutamaan kami, dan langkah-langkah intervensi tambahan akan dilaksanakan bagi mengekang trend ini,” katanya lagi.
Mengulas lanjut Noor Hisam berkata, antara langkah yang diambil adalah melalui penganjuran Program Advokasi Kesedaran Keselamatan Jalan Raya dengan kerjasama Unisem.
Jelas beliau, matlamat utama program adalah sebagai usaha memberi pendedahan dan kesedaran tentang keselamatan jalan raya dalam kalangan pekerja kilang yang sebahagian besarnya menggunakan kenderaan motosikal.
“Kategori kenderaan yang mencatatkan peningkatan ketara kemalangan jalan raya dan memerlukan peningkatan pengawasan adalah motosikal.
“Statistik kemalangan yang melibatkan pekerja unisem bagi tahun ini adalah sebanyak 11 kes yang melibatkan kenderaan terbabit,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kemalangan lima kenderaan: Dua maut, polis mohon saksi tampil


