KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Perak melalui Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) memeterai Perjanjian Usahasama dengan syarikat antarabangsa, Leiner Gelatine Sdn Bhd.
Perak SADC dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, usahasama itu dimeterai melalui syarikat dari Pakistan dengan anak syarikatnya, Ladang Lekir Sdn Bhd.
Menurutnya lagi, MoU dengan syarikat pengeluar produk gelatin halal terkemuka dunia itu merupakan usaha Perak dalam menjadi pemain utama pengeluaran produk halal khususnya industri gelatin yang mewakili sekitar tujuh peratus daripada pengeluaran produk halal dunia.
“Melalui usahasama strategik itu, kedua-dua pihak bekerjasama membangunkan industri gelatin halal dengan sasaran meningkatkan peratusan penggunaan dan pasaran gelatin halal di Malaysia dan juga global.
“Ia sekali gus meletakkan Perak khususnya dan Malaysia amnya sebagai pemain utama industri gelatin halal global,” katanya.
Inisiatif bersejarah itu berlangsung dalam satu majlis pertukaran perjanjian usahasama sempena penganjuran Pameran Antarabangsa Halal Malaysia (MIHAS) 2024 yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.
Pada majlis tersebut, Ladang Lekir Sdn Bhd diwakili Pengerusinya, Ahmad Yani Aminuddin manakala Leiner Gelatine Sdn Bhd diwakili Pengarah Urusannya, Khawaja Ahmed Hassan.
Majlis pertukaran perjanjian itu turut disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Bersama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Sementara itu, Saarani yang juga Pengerusi Perak SADC berkata, pasaran global gelatin mencatatkan nilai RM15.91 billion (USD3.7 billion) pada tahun lalu dan dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan (CAGR) sebanyak 6.6 peratus dalam tempoh 2023 hingga 2028.
“Daripada jumlah ini, hanya kira-kira tujuh peratus merupakan gelatin halal. Dengan potensi besar industri ini di peringkat global, Perak melalui SADC mahu mengorak langkah untuk menjadi pemain utama dalam industri strategik ini.
“Di Malaysia, import gelatin halal mencecah 2,800 tan metrik setahun, bernilai kira-kira RM130 juta di mana 30.8 peritus atau RM40 juta daripadanya datang dari Pakistan,” katanya.
Gelatin, sebagai bahan semula jadi yang dihasilkan daripada rangkaian kolagen haiwan seperti lembu, kerbau, dan ikan, memainkan peranan penting dalam pelbagai industry seperti makanan dan farmaseutikal. -MG Perak
Artikel Berkaitan: