Perak dalam usaha membangunkan rizab haiwan (padang ragut)

IPOH – Kerajaan negeri Perak melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dalam usaha untuk membangunkan Rizab Haiwan (Padang Ragut) dengan mengenal pasti status pengusaha ternakan yang menggunakan padang ragut, sama ada aktif atau tidak aktif.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, setakat ini sebanyak 83 padang ragut digunakan 1,134 ahli atau penternak di negeri ini melibatkan keluasan 4,636.3 hektar.

Menurutnya, keseluruhan padang ragut ini telah menampung sebanyak 6,222 ekor lembu pedaging, menjadikannya penyumbang utama kepada pengeluaran daging di negeri ini.

“Padang ragut adalah komponen penting dalam sektor pertanian khususnya dalam penternakan lembu pedaging di Perak.

“Daripada 83 padang ragut tersebut, 69 daripadanya adalah aktif dan diusahakan secara berkelompok dengan sejumlah 93 kumpulan manakala 14 yang lain masih diusahakan secara individu.

Perak dalam usaha membangunkan rizab haiwan (padang ragut)
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Kedua Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 04 DISEMBER 2024.

“Pada tahun 2024, jumlah pengeluaran daging dianggarkan mencapai 281.33 tan metrik, dengan jumlah jualan ternakan sebanyak 1,745 ekor.

“Padang ragut ini turut menempatkan ternakan lain seperti rusa (2,106 ekor), kambing (1,674 ekor), bebiri (938 ekor), kerbau (1,596 ekor), lembu Tenusu (688 ekor) dan kambing tenusu (164 ekor),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Belanjawan Negeri Perak 2025 di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Rabu.

Mohd Zolkafly berkata, JPV Negeri akan bekerjasama dengan agensi lain, terutamanya Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) sama ada untuk menyewa atau memajak padang ragut mengikut kaedah yang telah disyorkan oleh kerajaan negeri bagi memastikan tiada lagi padang ragut dianggap sebagai milikan turun-temurun.

“Langkah ini diambil untuk memastikan pengurusan padang ragut lebih efisien serta mengelakkan amalan penguasaan tanah secara warisan,” jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Lima syarikat mula projek di tapak rizab keterjaminan makanan Chenderiang

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI