PERKEMBANGAN pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) kini mengubah lanskap global dengan menjadikannya sebagai tonggak utama dalam transformasi ekonomi dan sosial meliputi pelbagai sektor.
Di negara-negara membangun dan maju, pelaburan dalam AI bukan lagi hanya sekadar pilihan, sebaliknya ia adalah suatu keperluan penting untuk kekal relevan dalam persaingan antarabangsa.
Sementara di Malaysia, kerajaan turut menekankan pembangunan ekosistem AI melalui pelbagai insentif dan inisiatif digital, dan pada masa sama, negeri Perak turut tidak mahu ketinggalan dalam gelombang ini.

Kerajaan Perak ketika kini sedang membina satu kerangka pelaksanaan teknologi AI dengan sasaran untuk memulakan pelaksanaan awal pada suku pertama tahun 2026.
Menurut Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Mohd Azlan Helmi Helmi, inisiatif itu dikendalikan oleh Digital Perak Corporation Holdings sebagai agensi pelaksana negeri.
Beliau menjelaskan kerangka ini akan menentukan elemen platform AI yang sesuai, jenis aplikasi, dan penyepaduan teknologi dalam sistem kerajaan negeri yang akhirnya akan memberi manfaat langsung kepada kesejahteraan rakyat.
Mohd Azlan berkata, perbincangan awal telah diadakan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Digital Nasional Berhad (DNB) dan dilaporkan DNB sudah menyatakan kesediaan membantu Perak memetakan potensi pembangunan AI di negeri ini.

Meskipun tahun 2025 berbaki lebih sebulan, namun mutakhir melaporkan, Perak mengambil langkah pragmatik dalam mengaplikasikan penggunaan AI di tiga portal kerajaan negeri iaitu Sistem Pinjaman Pengajian Tinggi, Portal ePenghulu, dan Portal Lembaga Muzium Negeri Perak.
Mohd Azlan berkata, penggunaan teknologi AI melalui chatbot itu dibangunkan secara dalaman oleh Bahagian Digital dan Bahagian Khidmat Pengurusan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak dengan sokongan rakan strategik lain.

“Usaha ini bertujuan memperkasa keupayaan penjawat awam untuk mengadaptasi AI dalam tugasan harian, seterusnya memacu produktiviti melalui keputusan yang lebih tepat dan berasaskan data. Langkah ini sangat selaras dengan tuntutan era digital.
“SUK Perak kini telah berjaya melaksanakan projek inovatif berasaskan AI dengan membangunkan pembantu maya yang membantu menjawab pertanyaan awam dengan lebih pantas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan ‘Hari ICT: AI Untuk Semua Pemangkin Perak Sejahtera 2030’ di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, baru-baru ini.
Pembangunan AI selari Pelan Perak Sejahtera 2030
Usaha ini dilihat selaras dengan agenda kedua dan ketiga pelan pembangunan negeri, Pelan Perak Sejahtera 2030 iaitu ‘Ekonomi Digital’ dan ‘Pembuatan Keputusan Berpacukan Data’, sebagaimana yang digagaskan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Menurut Mohd Azlan, melalui penggunaan AI, jabatan dan agensi kerajaan akan dapat membuat keputusan yang lebih pantas, tepat dan berpandukan analisis data sebenar.
Tambah beliau, ia sekali gus dapat meningkatkan tahap keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.

“Agenda ini meletakkan pembangunan mampan dan kesejahteraan rakyat sebagai teras utama. Bagi mencapai matlamat tersebut, kita memerlukan jentera pentadbiran yang cekap, tangkas dan berinovasi.
“Penggunaan AI secara meluas dalam perancangan dasar, pengurusan sumber dan penyampaian perkhidmatan secara langsung menyokong teras strategik utama Perak Sejahtera 2030,” ujar beliau.
Mohd Azlan berkata, kerajaan Perak juga sebelum ini telah melancarkan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Negeri Perak 2030 dan Blueprint Bandar Pintar Perak 2040 yang menjadi panduan utama pelaksanaan transformasi digital negeri.

Jelas beliau, ia menekankan pembangunan ekosistem digital pintar, memperkukuh inovasi berasaskan data, memacu transformasi perkhidmatan awam, meningkatkan kecekapan sektor ekonomi, serta memperkasakan bandar pintar melalui teknologi AI.
“Dalam konteks ini, AI menjadi pemangkin utama kepada usaha negeri Perak bagi melahirkan masyarakat berpengetahuan, perkhidmatan awam berprestasi tinggi serta sektor ekonomi yang lebih produktif,” katanya lagi.
Teknologi AI perkukuh penyampaian perkhidmatan rakyat
Mohd Azlan berkata, pelaksanaan inisiatif AI di peringkat SUK masih lagi berada peringkat awal dan fokus utama ketika ini adalah untuk membina kefahaman dan kemahiran asas AI dalam kalangan penjawat awam.
Namun begitu ia dilihat akan memberi impak positif kepada mutu penyampaian perkhidmatan rakyat apabila ia membantu menjawab pertanyaan awam dengan lebih pantas.

Jelas Mohd Azlan, penggunaan Chatbot AI SUK Perak akan meminimumkan kesilapan dan memastikan maklumat disampaikan kepada orang awam secara konsisten di samping ia beroperasi 24 jam.
“Bagi orang awam, ia memudahkan akses kepada maklumat dan perkhidmatan kerajaan secara pantas, mudah dan mesra pengguna tanpa perlu hadir ke kaunter atau menghubungi pegawai.
“Sementara bagi kakitangan kerajaan, chatbot mengurangkan beban kerja rutin, membolehkan mereka menumpukan kepada tugasan yang lebih strategik dan meningkatkan produktiviti keseluruhan jabatan,” katanya lagi.

Melalui perkembangan semasa ini, ia menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Perak di bawah kepimpinan Saarani komitmen serius dalam membangunkan ekosistem AI yang mampan demi menyokong visi Perak Sejahtera 2030.
Menerusi kerangka strategik, memperkenalkan chatbot AI di perkhidmatan kerajaan, dan melatih warga penjawat awam, negeri Perak telah meletakkan asas kukuh bagi transformasi digital khususnya dalam bidang AI yang lebih inklusif.
Di samping menjukkan Perak berada di landasan tepat memperkukuhkan ekosistem AI, ia juga membuktikan bahawa teknologi AI dapat disepadukan dalam dasar pembangunan negeri bagi memberi manfaat semua lapisan masyarakat. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak rangka kerangka pelaksanaan teknologi AI, pelaksanaan awal 2026


