IPOH – Skuad Pemburu Ikan Asing (SPIA) mencadangkan supaya Perak mengikuti jejak langkah Selangor yang menawarkan insentif RM1 bagi setiap satu kilogram tangkapan ikan bandaraya.
Pengasasnya, Mohamad Haziq A Rahman berkata, langkah ini bukan sahaja dapat mengawal populasi ikan bandaraya yang bersifat invasif, malah mampu memberi insentif ekonomi kepada penduduk setempat khususnya pemancing dan nelayan darat.
Menurutnya, kehadiran mereka di Perak lebih tertumpu kepada usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat tempatan tentang ancaman spesies ikan asing yang semakin membimbangkan.
“Kami ingin menekankan bahawa Perak juga merupakan negeri yang berada dalam keadaan kritikal, sama seperti Selangor dan Lembah Klang, dari segi populasi ikan bandaraya.
“Kekerapan kami mengikuti program seperti ini menunjukkan bahawa isu ini perlu diberikan perhatian serius.
“Melalui penganjuran berterusan ini, kami berharap dapat membuka mata Kerajaan Perak supaya mengambil langkah proaktif sebagaimana yang dilakukan negeri-negeri lain khususnya Selangor.
“Campur tangan serta sokongan daripada pihak kerajaan akan memberi impak yang lebih positif terhadap usaha ini.
“Sebagai contoh, di Selangor, kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan berbentuk insentif sebanyak RM1 bagi setiap kilogram tangkapan ikan bandaraya kepada masyarakat,“ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Aktiviti Pembersihan Sungai Sempena Program Grand Prix Memburu Ikan Asing Siri 1/2025 Negeri Perak di Dataran Taman D R Seenivasagam di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Pengarah Perikanan Perak, Mohd Ghazali A Manap.
Dalam perkembangan sama, beliau yang juga Pengerusi SPIA berkata, sejak misi memburu ikan asing ini dilakukan dengan kerjasama Jabatan Perikanan negeri, pihaknya berjaya menangkap lebih 52 tan ikan bandaraya dengan Lembah Klang merekodkan jumlah tertinggi iaitu 30 tan.
“Tangkapan itu bermula sejak 2022 sehingga Julai tahun ini dan ikan bandaraya adalah hierarki ikan asing yang tertinggi mendominasi perairan sungai.
“Daripada jumlah 52 tan ikan bandaraya yang ditangkap, 30 tan sahaja adalah di Lembah Kelang khususnya di Selangor manakala selebihnya merangkumi negeri lain seperti Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pulau Pinang dan Kedah kecuali di kawasan Pantai Timur,“ ujarnya.
Katanya, setakat ini komuniti SPIA mempunyai lebih daripada 1,000 orang dari seluruh Semenanjung dan mereka telah melakukan aktiviti menangkap ikan asing bergerak dengan kerajaan negeri serta dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Perikanan.
“Alhamdulillah kalau kita tengok kesedaran masyarakat mengenai ikan asing sudah nampak meluas. Sebagai contoh kalau ada isu-isu mengenai pelepasan ikan asing ia akan cepat viral dekat sosial media.
“Justeru, ia menunjukkan kesan positif pada masyarakat dan dalam masa yang sama bila kita bercakap pasal ikan asing rata-rata masyarakat sudah ramai yang cakna,“ katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Bangkai ikan di Sungai Kinta disyaki dibuang dari kolam ternakan