Perak galak hospital swasta anjur simposium kesihatan – Exco

IPOH – Kerajaan Negeri Perak menggalakkan penglibatan lebih meluas hospital swasta dalam penganjuran program kesihatan, khususnya simposium perubatan yang mampu meningkatkan kecekapan dan kesedaran dalam kalangan profesional serta masyarakat.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, peranan hospital swasta amat penting dalam perkhidmatan kesihatan negeri ini, sejajar dengan usaha meringankan beban perkhidmatan di hospital kerajaan.

Menurutnya, inisiatif Hospital Pakar Komuniti Perak (PCSH) menganjurkan Simposium Ortopedik kali ini amat penting dalam membincangkan teknologi terkini rawatan berkaitan bidang ortopedik di negeri ini.

“Selama ini, program-program sebegini lebih banyak dianjurkan oleh hospital kerajaan, jadi saya menyeru hospital-hospital swasta untuk turut mengambil bahagian secara aktif dalam menganjurkan simposium dan program kesihatan yang bermanfaat kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnkan majlis perasmian program Orthopaedic Symposium: Latest Updates and Best Practices in Orthopaedic di Hotel Kinta Riverfront, di sini pada Ahad.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PCSH, Nicholas Chan.

Perak galak hospital swasta anjur simposium kesihatan - Exco
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan (tengah) merasmikan program Orthopaedic Symposium: Latest Updates and Best Practices in Orthopaedic di hotel Kinta Riverfront, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 22 JUN 2025.

Dalam perkembangan berkaitan, Sivanesan berkata, PCSH adalah antara hospital tertua di Perak yang memainkan peranan penting dalam sejarah perkhidmatan kesihatan negeri ini sejak ditubuhkan sebagai organisasi amal pada tahun 1930-an.

Katanya, ia adalah hospital keempat tertua di negeri ini selepas Hospital Raja Permaisuri Bainun (Ipoh), Hospital Taiping dan Hospital Batu Gajah.

“Walaupun sudah berusia lebih 100 tahun, PCSH masih meneruskan aktiviti kebajikan dalam perkhidmatannya serta berperanan sebagai hospital pakar yang membantu masyarakat, termasuk golongan B40,” jelasnya.

Tambah beliau, kerajaan negeri akan terus memberi kerjasama penuh kepada mana-mana hospital swasta yang ingin menjalankan program amal berkaitan kesihatan, terutamanya untuk membantu golongan kurang berkemampuan.

“Kita ada 86 klinik dan 14 hospital dengan lebih 3,000 katil di seluruh negeri, namun cabaran tetap besar apabila hampir 50 peratus pakar telah meninggalkan perkhidmatan kerajaan.

“Justeru, penyertaan hospital swasta dalam penganjuran program seperti ini dapat meringankan beban ke atas hospital dan klinik kerajaan,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa walaupun berlaku penghijrahan tenaga pakar dari sektor awam ke swasta, perkhidmatan kesihatan di hospital kerajaan masih berjalan lancar tanpa gangguan besar.

Simposium yang disertai lebih 90 pakar perubatan dari dalam dan luar Perak adalah satu contoh sinergi yang boleh diwujudkan antara sektor awam dan swasta demi kesejahteraan rakyat dan peningkatan kualiti penjagaan kesihatan di negeri ini. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak sasar larangan vape tahun ini

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI