IPOH – Perak menggesa Kerajaan Persekutuan mempercepatkan pelaksanaan Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah ekoran masalah kekurangan bekalan air di kawasan tersebut setiap kali cuaca panas melanda.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, projek tersebut pada asalnya dirancang bagi memenuhi keperluan pengairan di kawasan utara negeri Perak, namun kini turut merangkumi keperluan lain termasuk bekalan air bersih.
“Dulu asal permintaan kita memang hanya khusus untuk mengatasi masalah pengairan di utara negeri Perak.
“Tapi bila ada KIGIP (Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian), ada permintaan daripada Pulau Pinang, maka ia dipakejkan sekali.
“Jadi bukan sahaja pemindahan air daripada Sungai Perak ke Tasik Bukit Merah semata-mata tetapi untuk tujuan LRA (Loji Rawatan Air) bagi membolehkan kita membekalkan air bersih untuk kegunaan KIGIP dan kawasan utara Perak.
“Selebihnya hanya dijual sebagai air terawat kepada Pulau Pinang,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri Kelima Tahun 2025 di Stadium Indera Mulia, di sini pada Isnin.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Dalam perkembangan berkaitan, Saarani memaklumkan operasi pembenihan awan bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
“Kita perlu berunding dgn Kerajaan Pusat kerana ia melibatkan teknikal dan juga kena ada khidmat nasihat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).
“Kalau kita ingat pada tahun 2022 kita pernah mengadakan pembenihan awan, tapi hujan tidak turun dalam kolam Bukit Merah tetapi turun atas rumah orang. Ini disebabkan ia berkaitan dengan arah angin.
“Sebab itu, kita tidak boleh sewenang-wenangnya melakukan pembenihan awan melainkan tetapi perlu mendapatkan khidmat nasihat Jabatan Teknikal dan kementerian berkaitan termasuklah MET Malaysia.
“Saya turut dimaklumkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah mengambil inisiatif untuk mengkaji, melihat keperluan sama ada pembenihan awan boleh dibuat pada masa sekarang ataupun tidak.
“Bagaimanapun, MET Malaysia menasihatkan keadaan sekarang tidak sesuai kerana anginnya tidak boleh ditentukan sama ada boleh atau tidak hujan itu diturunkan dalam Tasik Bukit Merah, jadi kalau begitu tak perlu menjadi sia-sia,“ jelasnya.
Paras air Empangan Bukit Merah mencatatkan bacaan 7.01 meter yang masih berada dalam Aras Kritikal Pengairan Tahap 3 pada Isnin. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Air Bukit Merah susut, Perak mohon pembenihan awan