Perak giat bangunkan tiga projek di Batang Padang

IPOH – Kerajaan Negeri Perak sedang giat merancang dan membangunkan pelbagai projek pembangunan melibatkan Daerah Batang Padang, di bawah inisiatif Pelan Perak Sejahtera 2030.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia termasuk tiga projek membabitkan Pembangunan Bandar Baru Tapah Road, Kompleks Perniagaan Bidor Sentral serta Bandar Integrasi Hub Getah Bidor atau ‘Bidor Glove City’.

Katanya, rancangan Pembangunan Bandar Baru Tapah Road merupakan sebahagian daripada Rancangan Tempatan Daerah Batang Padang 2035 di bawah skop Perak Sejahtera 2030.

“Satu projek bandar baharu yang berkeluasan 4,000 ekar berhampiran Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perak Kampus Tapah akan dibangunkan.

“Melalui usaha ini, ia dijangka menjadi nadi pertumbuhan ekonomi baharu di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ishsam Shahruddin (BN-Ayer Kuning) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini, pada Selasa.

Di samping itu, Saarani memaklumkan pembangunan Kompleks Perniagaan Bidor Sentral yang dibangunkan syarikat pengangkutan, Perak Transit Berhad telah mencapai kadar 90 peratus siap dan dijangka beroperasi tidak lama lagi.

Menurut beliau, projek pemangkin terhadap bangunan ‘Terminal Bidor Sentral’ itu akan dilengkapi dengan perkhidmatan terminal bas, pusat boling, pasar raya, dewan konvensyen, dewan badminton dan sebagainya.

Menyentuh tentang pembangunan ‘Bidor Glove City’, Saarani berkata projek ‘flagship’ dalam Draf Rancangan Tempatan Daerah Batang Padang 2035 itu telah memperoleh Kelulusan Merancang (KM) yang melibatkan kawasan seluas 342 hektar.

“Projek yang sedang dibangunkan ini adalah berkonsepkan perindustrian produk yang berasaskan getah atau sarung tangan.

“Projek ini dilihat dapat menyokong kepesatan pembangunan, keperluan industri serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat,” ujar beliau.

Dalam perkembangan sama, Saarani memberitahu, kerajaan negeri juga memberi penumpuan kepada pembangunan sektor pelancongan dalam Daerah Batang Padang.

Jelas beliau, empat kategori yang difokuskan di daerah berkenaan ialah ekopelancongan, agropelancongan, pelancongan warisan dan budaya, serta pelancongan makanan dan minuman.

“Kerajaan negeri memberi tumpuan kepada produk pelancongan yang terdapat di Batang Padang seperti Tasik Temoh; Lata Kinjang; Lata Iskandar; Kampung Pos Musoh Chalet; Hutan Rekreasi Kuala Woh; dan Pusat Konservasi Hidupan Liar untuk dipromosikan sempena Tahun Melawat Perak 2024.

“Selain itu, penganjuran acara pelancongan seperti Family Day With Bicycle In Conjunction With World Bicycle Day; Pesta Berakit @ Sungai Batang Padang; Festival Orang Asli @ Tapah dan sebagainya juga dapat menarik pelancong untuk berkunjung di kluster tersebut termasuklah di DUN Ayer Kuning,” tambah Saarani. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Geely rancang buka universiti antarabangsa di Tanjung Malim

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI