TAIPING – Kerajaan Perak meminta agar projek Pembangunan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) dapat segera disiapkan menjelang tahun 2028.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ketika ini kerja-kerja melibatkan proses pembersihan tanah di kawasan seluas 404.6 hektar sedang giat dijalankan termasuk melibatkan kerjasama Gamuda Bhd (Gamuda).
“Sebelum ini difahamkan ada sedikit masalah kerana ada keperluan untuk menambak kawasan berpaya pada sebahagian kawasan pembangunan itu.
“Saya juga diberitahu bahawa ada kolaborasi bersama Gamuda kerana syarikat itu ada kepakaran dalam menyelesaikan masalah keadaan muka bumi berpaya seperti yang pernah dilakukan di Belanda.
“Oleh sebab itu, kita berharap isu pada kawasan berpaya itu dapat segera diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Kilang Green Excel Manufacturing Sdn. Bhd. (GEM) di Kawasan Perindustrian Kamunting 3, Kamunting Raya, dekat sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee; Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pengurusan Pelaburan Perak (InvestPerak), Mohamad Hashim Abdul Ghani, serta Pengarah GEM, Yip Pek San.
Dalam pada itu Saarani berkata, pihaknya juga berharap agar projek pemindahan air mentah dari Sungai Perak ke Bukit Merah dapat segera dilaksanakan sebagai menyokong keperluan termasuk di KIGIP.
“Kita difahamkan KIGIP yang dilaksanakan SD Guthrie Bhd (SD Guthrie) akan siap dibuka untuk kemasukan para pelabur pada tahun 2029.
“Pada masa sama, projek pemindahan air Sungai Perak juga kita harap dapat dipercepatkan kerana ia untuk keperluan bagi pengairan pertanian, projek air terawat ke Pulau Pinang serta KIGIP,” jelas beliau.
Untuk rekod, kerajaan negeri berperanan sebagai pemudah cara kepada projek industri antara yang terbesar di negara itu.
Majlis Pecah Tanah KIGIP di Simpang Lima, di Kerian telah dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ogos tahun lalu.
Pada awal Februari, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dan Gamuda dilaporkan menandatangani perjanjian pengaturan eksklusif dengan matlamat membangunkan infrastruktur bagi menangani masalah kekurangan air yang kritikal di utara Perak.
Dalam perkembangan berasingan Saarani memberitahu, kilang GEM yang menghasilkan produk panel dinding, siling, pintu, dan tingkap untuk industri itu telah membuka 20 peluang pekerjaan kepada warga tempatan.
Kata beliau, satu persefahaman telah dimeterai antara GEM dengan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Taiping bagi pusat latihan itu membekalkan tenaga sumber manusia kepada kilang berkenaan pada masa hadapan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
KIGIP bukti syarikat Bumiputera mampu laksana projek teknologi hijau mega