Perak hargai kejayaan atlet Sukan SEA, kebangsaan, salur insentif RM139,450

IPOH – Kerajaan Negeri Perak menghargai 45 pencapaian atlet dari negeri ini pada Sukan SEA Thailand 2025 dengan menyampaikan insentif kemenangan berjumlah RM93,800.

Selain itu, seramai 40 atlet Perak yang mempamerkan prestasi cemerlang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa turut menerima insentif dengan jumlah keseluruhan RM45,650.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, inisiatif itu merupakan pengiktirafan terhadap komitmen dan kecemerlangan atlet yang mengharumkan nama negeri dan negara serta menjadi dorongan berterusan kepada pembangunan prestasi sukan di Perak.

“Kita rasa begitu teruja dan bangga apabila kita dapat tahu bahawa ramai sekali anak-anak Perak yang mewakili Malaysia dalam Sukan SEA baru-baru ini dan sebahagian daripada mereka kita lihat tadi memakai pingat yang mereka menangi,” katanya.

Perak hargai kejayaan atlet Sukan SEA, kebangsaan, salur insentif RM139,450
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyampaikan Insentif Kecemerlangan Atlet Negeri Perak Tahun 2025 pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ketua Kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Stadium Indera Mulia, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF 29 JANUARI 2026.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ketua Kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dan Insentif Kecemerlangan Atlet Negeri Perak Tahun 2025 di Stadium Indera Mulia di sini pada Khamis.

Saarani turut menyempurnakan penyampaian watikah pelantikan kepimpinan kontinjen Negeri Perak bagi Temasya SUKMA 2026 di Selangor sebagai langkah awal memperkukuh persediaan negeri menghadapi temasya tersebut.

“Kepimpinan kontinjen Negeri Perak bagi SUKMA ke-22 2026 ini diterajui sendiri oleh Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim selaku Chef de Mission, dibantu Datuk Mohd Zaki Mahyudin sepertimana yang kita lakukan di SUKMA Sarawak.

Perak hargai kejayaan atlet Sukan SEA, kebangsaan, salur insentif RM139,450
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad merasmikan bas baharu Majlis Sukan Negeri Perak pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ketua Kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dan Insentif Kecemerlangan Atlet Negeri Perak Tahun 2025 di Stadium Indera Mulia, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF 29 JANUARI 2026.

“Kali ini ada tambahan iaitu bekas penerjun negara, Datuk Leong Mun Yee sebagai Timbalan Chef De Mission kerana mengenangkan beliau telah menjenamakan Perak sebagai salah satu negeri yang telah menghasilkan atlet peringkat dunia,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan negeri turut memperkukuh sokongan pembangunan sukan menerusi pelaksanaan Sistem Angkat, selain perasmian dan penyerahan bas baharu Majlis Sukan Negeri Perak bagi memantapkan aspek logistik serta kebajikan atlet menjelang SUKMA 2026.

“Penyelarasan agenda rakyat dan pembangunan negeri ini mencerminkan keupayaan kerajaan negeri dalam mengoptimumkan sumber, memudahkan akses rakyat serta memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan memberi manfaat langsung kepada kesejahteraan masyarakat dan kemajuan negeri,” jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

SUKMA 2026: Perak sambut baik tiga sukan ditambah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI