Perak hasrat wujudkan sistem penarafan bangunan mesra warga emas

IPOH – Kerajaan Negeri Perak akan memastikan semua infrastruktur di negeri ini mesra warga emas sebelum negara mencapai status negara tua pada tahun 2030.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, justeru kerajaan negeri berhasrat mewujudkan sistem penarafan bangunan mesra warga emas sebagaimana penarafan Indeks Bangunan Hijau (GBI).

“Melalui kaedah ini, kita akan membuat penilaian dan pengiktirafan daripada segi kemudahan awam atau infrastruktur yang mencapai kriteria keperluan warga emas.

“Ia supaya dapat menjadi rujukan kepada orang awam dan boleh menggalakkan pihak lain seperti agensi kerajaan untuk mematuhi serta mewujudkan suasana bangunan mesra warga emas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Program Sejahtera Warga Emas Komuniti Mesra Usia di Pusat Transformasi Bandar, (UTC) Perak, dekat sini, pada Selasa.

Perak kerajaan negeri penarafan bangunan mesra warga emas sistem Sandrea
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Perak, Sandrea Ng Shy Ching pada sidang media Program Sejahtera Warga Emas Komuniti Mesra Usia di Pusat Transformasi Bandar, (UTC) Perak, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 17 DISEMBER 2024.

Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin serta Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP), Mohamed Akmal Dahalan.

Dalam pada itu Sandrea memberitahu, Jabatan Perangkaan Malaysia menjangkakan 15 peratus penduduk di negara ini terdiri daripada individu berusia 60 tahun ke atas menjelang tahun 2030.

Jelas beliau, dalam tempoh sama keadaan di Perak lebih kritikal apabila satu daripada lima penduduk di negeri ini dijangka berstatus warga emas, iaitu 20.5 peratus daripada keseluruhan populasi.

Kata beliau lagi, ia merupakan peratusan tertinggi di seluruh negara dengan ditambah cabaran kadar migrasi golongan muda yang tinggi dan meninggalkan komuniti yang lebih berusia di negeri ini.

Pada masa sama Sandrea berkata, kerajaan negeri akan melihat semula garis panduan pembangunan golongan warga emas sedia ada agar ia dapat ditambah baik seiring dengan keperluan semasa.

“Ada garis panduan yang sebelum ini berkaitan warga emas tidak dapat dilaksanakan. Justeru kita akan menilai semula cabaran serta masalah yang dihadapi, dan bagaimana kita dapat menyelesaikanya,” ujarnya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

RMK13: Agenda Negara Menua antara yang diberi tumpuan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI