Perak jadi negeri pertama noktahkan miskin tegar tahun ini

GERIK – Perak menjadi negeri pertama berjaya menoktahkan miskin tegar membabitkan 8,128 Ketua Isi Rumah (KIR) yang didaftarkan dalam e-Kasih pada 1 Februari tahun ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kejayaan itu adalah hasil keberkesanan pelaksanaan program One Stop Centre (OSC) Sejahtera Sosial Negeri Perak.

Menurutnya, program tersebut dilancarkan di daerah Manjung diikuti Larut Matang dan Selama serta Hulu Perak.

“OSC ini mula lancarkan di Manjung tujuannya ialah untuk kita menyelaras agensi yang terlibat dalam pemberian bantuan.

“Kalau tidak dulu MAIPk (Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak) cara dia, Felcra Bhd cara dia dan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) mengikut cara masing-masing sehingga kadang-kadang berlaku pertindihan sehingga ada seorang dapat (bantuan) lebih dari satu.

“Sebab itu, agensi kerajaan yang terlibat dengan pemberian bantuan kita satukan semua, duduk berbincang dan kita cuba sedaya upaya untuk tidak berlaku pertindihan,” katanya.

Perak jadi negeri pertama noktahkan miskin tegar tahun ini
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad beramah mesra dengan penduduk setempat yang membeli ayam segar berharga RM3 seekor ketika jualan Happy Hour yang berlangsung pada Majlis Perasmian Program One Stop Centre (OSC) Sejahtera Sosial Negeri Perak Tahun 2024 di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Gerik, Perak. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 02 JUN 2024.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan perasmian Program OSC Sejahtera Sosial Negeri Perak Daerah Hulu Perak di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Gerik, di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Saarani berkata, terdapat juga agensi yang menyediakan peluang untuk penerima bantuan untuk mengembangkan perusahaan dan perniagaannya menerusi pemberian bantuan tersebut.

“Kalau kita dapat bantuan dari ICU (Pejabat Pembangunan Negeri Perak), kita bantu supaya mereka sendiri melepaskan diri daripada garis kemiskinan.

“Kita tak boleh bagi ikan, kita bagi pancing. Kita cuma membantu (pada peringkat) permulaan. Ini kerana membasmi kemiskinan ini adalah dari diri mereka sendiri,” jelasnya.

Perak jadi negeri pertama noktahkan miskin tegar tahun ini
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (hadapan, tengah) ketika hadir ke Majlis Perasmian Program One Stop Centre (OSC) Sejahtera Sosial Negeri Perak Tahun 2024 di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Gerik, Perak. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 02 JUN 2024.

Sementara itu, Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, 8,128 data yang dikunci pada 1 Februari 2024 dan sehingga tarikh ini telah berjaya sifarkan miskin tegar.

“Tapi data kita adalah data dinamik dan akan ada pertambahan dari semasa ke semasa. Jadi, yang kita tekankan di sini adalah apa yang dibuat oleh ICU dan kerajaan negeri.

“Di Perak, kita gunakan data paling terkini tahun 2024 dan data yang itu dikunci dan buat pemutihan dengan padanan pekerjaan bantuan-bantuan supaya akhirnya kita berjaya keluarkan mereka dari garis kemiskinan tegar itu. Jadi, akan data baharu dan proses itu berterusan,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

KIR miskin tegar di Perak hampir dinoktahkan – Salbiah

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI