IPOH – Negeri Perak menjalinkan hubungan dengan negara-negara jiran di rantau Asia Tenggara dalam memperteguhkan perdagangan antarabangsa khususnya melibatkan mineral seperti lantanida jenis Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE).
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Singapura misalnya mempunyai hubungan yang baik dengan negeri baik daripada sudut sejarah mahupun kerjasama antara negara.
Katanya, kerjasama itu juga diperkasakan bersama dengan Negara Gajah Putih melalui Pertumbuhan Segitiga Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT).
“Melalui IMT-GT, negeri-negeri yang bersempadan dengan Thailand dan Singapura pula menjadi tuan rumah bagi penganjuran siri mesyuarat. Malah Perak pernah menjadi tuan rumah penganjuran mesyuarat berkenaan pada tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dr Abdul Aziz Bari (PH-Tebing Tinggi) pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Kedua Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Rabu.
Tambah Saarani (BN-Kota Tampan), dalam hal sama, selain Asia Tenggara, Perak turut memperteguhkan hubungan dengan negara-negara yang berada luar daripada rantau ini
“Usaha ini pentuang kerana kita tidak boleh mengeskport bahan mentah NR-REE, melainkan ia sudah diproses menjadi produk akhir, seperti magnet dan sebagainya,” katanya.
Terdahulu ketika menjawab soalan lisan, Saarani memberitahu, Perak telah menerima kunjungan Delegasi Singapura yang diketuai Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Vanu Gopala Menon ke Perak pada 8 Oktober lalu.
Kata beliau, sesi itu berlangsung selama dua jam selain turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee serta Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan.
Beliau berkata, antara perkara yang dibincangkan dalam sesi itu adalah berkaitan sektor ekonomi dan pelaburan dengan menekankan potensi serta peluang kerjasama pelaburan melibatkan projek-projek berkepentingan tinggi negeri.
“Kerajaan negeri juga mengambil peluang memberi penerangan ringkas berkenaan pelan tindakan Perak Industrial Blueprint (P3) yang sedang dan akan memacu pertumbuhan sektor pembuatan, perkhidmatan, dan ekonomi digital selari dengan Pelan Perak Sejahtera 2030.
“Turut dibincangkan ialah berkenaan ekosistem industri pelancongan di Perak yang menjanjikan pelbagai tarikan unik dan menarik dari sudut keindahan alam, sejarah dan budayanya.
“Selain itu, Institut Darul Ridzuan (IDR) telah membentangkan hasil usahasama dengan Singapore University of Social Science (SUSS) dalam bentuk program yang memfokuskan bidang-bidang utama seperti pertanian, digital, pendidikan dan infrastruktur,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Makmal analisis NR-REE, Terra Mineral Lab mula operasi September – Saarani