KUALA KANGSAR – Kerajaan Negeri Perak sepakat untuk berkolaborasi dengan sebuah syarikat tempatan bagi melaksanakan projek percubaan memproses hasil nadir bumi di Simpang Pulai.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kolaborasi itu adalah susulan titah nasihat Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah supaya usaha memajukan industri ini dipikul sendiri anak watan.
Menurutnya, berkat pedoman dan titah baginda, ikhtiar kerajaan negeri merintis industri nadir bum isebagai sumber kekayaan baharu, kini semakin menampakkan cahaya kejayaan.
“Hasil lawatan dan tinjauan ke tapak pemprosesan itu pada 5 November lalu, usaha tersebut telah membuahkan hasil seperti yang dicita-citakan.
“Syarikat tersebut telah berjaya memisahkan empat kumpulan unsur nadir bumi, yang menjadi komponen penting dalam rantaian industri tersebut, seterusnya menonjolkan potensi Perak dalam penghasilan produk mineral yang bernilai tinggi.
“Empat kumpulan unsur nadir bumi itu ialah Lanthanum Cerium (LaCe), Praseodymium Neodymium (PrNd), Samarium Europium Gadolinium (SEG) dan Heavy Rare Earth Element (HREE) yang dipisahkan menggunakan sepenuhnya kepakaran tempatan.
“Kejayaan bersejarah itu menjadi suatu titik penting bagi Perak kerana berjaya menembusi teknologi memproses nadir bumi yang sejak sekian lama didominasi oleh negara China dan Australia, sekaligus melorong reputasi Perak untuk bersaing di peringkat global,“ katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu sembah ucapan tahniah pada istiadat menghadap sembah taat setia dan penganugerahan darjah kebesaran sempena sambutan Ulangtahun Keputeraan ke-68 baginda di Istana Iskandariah, di sini, pada Sabtu.
Dalam perkembangan sama, Saarani berkata, walaupun industri nadir bumi sudah menyumbang pulangan hasil royalti mencecah RM30.88 juta kepada negeri, kerajaan negeri akan terus meneroka setiap potensi yang ada untuk memastikan Perak dipetakan sebagai hab industri mineral negara.
“Sesuai dengan perancangan yang diatur, kerajaan negeri melalui Perbadanan Menteri Besar (MB Inc.) telah mendirikan Terra Mineral Lab, sebuah makmal analisis mineral nadir bumi komersial pertama dalam negara.
“Makmal itu akan menjadi pusat rujukan penting industri mineral, lebih-lebih lagi ia membariskan pakar dan tenaga profesional tempatan,” ujarnya.
Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa kutipan hasil negeri Perak setakat 1 November tahun ini telah mencecah RM1.09 bilion iaitu meningkat sebanyak RM130 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Ekoran prestasi memberangsangkan itu, kerajaan negeri dijangka dapat memadam unjuran defesit sebanyak RM67.5 juta dalam Belanjawan 2024 sekali gus akan merekodkan lebihan atau surplus untuk tiga tahun berturut-turut.
“Alhamdulillah, deretan keberhasilan yang didukung oleh data dan angka, menjadi cerminan betapa Kerajaan Paduka Seri Tuanku berada dalam haluan yang betul untuk menjayakan segala ikhtiar dan dayausaha yang digariskan dalam pelan Perak Sejahtera 2030,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sultan Nazrin berangkat ke istiadat pengurniaan darjah kebesaran Perak