KERAJAAN Negeri Perak komited menjadikan masyarakat Orang Asli sebagai rakan pembangunan yang setara, demi memastikan tiada komuniti yang terpinggir dalam arus kemajuan negeri.
Justeru, Simposium Komuniti Orang Asli Negeri Perak diadakan buat julung kali dengan mengumpul pelbagai lapisan komuniti dari pemimpin akar umbi sehingga agensi pelaksana bagi mendengar suara orang asli secara terus dan telus.
Inisiatif ini mencerminkan iltizam kerajaan negeri untuk menilai pencapaian dan merancang hala tuju yang lebih menyeluruh dan berimpak tinggi demi masa depan anak-anak orang ssli.
Pelbagai program khusus di bawah rangka Pelan Perak Sejahtera 2030 untuk mengupayakan komuniti ini, termasuk memperluas akses kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), keusahawanan, serta prasarana asas yang lebih baik.
Komitmen ini jelas membuktikan bahawa pembangunan yang dikecapi tidak seharusnya meninggalkan sesiapa di belakang sebaliknya, ia menjadi jambatan yang menghubungkan setiap masyarakat termasuk orang asli ke arah kemajuan yang adil, saksama dan sejahtera.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mahu orang asli juga mempunyai kemudahan asas yang mencukupi, mampu menjadi usahawan yang berjaya serta menjadi orang yang terpelajar.
Menurutnya, jika anak-anak orang asli mampu untuk menguasai pendidikan serta berkemahiran dalam bidang teknologi, mereka mampu membina masa depan cerah untuk komuniti mereka.
“Kerajaan negeri tidak bersendirian dalam perjuangan ini. Pelbagai pihak sama-sama tampil menjayakannya. Ini termasuklah agensi kerajaan, badan korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta institusi pendidikan.
“Akhirnya kita dapat menyentuh kehidupan sebenar masyarakat orang asli, terutamanya di kampung-kampung,” katanya ketika berucap pada simposium tersebut baru-baru ini.
Beliau berkata, antara kejayaan yang dicapai adalah pembangunan sektor ekopelancongan di Kampung Tonggang dan Kampung Kenang dengan bantuan Yayasan Hasanah, yang melahirkan pemandu pelancong, renjer hutan dan pengusaha inap desa dalam kalangan oang asli.
“Selain itu, Projek Sambal Hipay di Kampung Air Bah dengan kerjasama Yayasan Bambusa membantu masyarakat menguasai ilmu kulinari dan memasarkan makanan tradisi kaum Semai.
“Di Royal Belum, Projek Santuari Kelah oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) bukan sahaja memelihara alam sekitar, malah menyediakan sumber kewangan kepada komuniti.
“Larangan tangkapan ikan atau ‘akekcep’ telah menjadikan inisiatif ini sebagai contoh pemuliharaan komuniti yang berjaya. Royal Belum kini menerima lebih 30,000 pengunjung setiap tahun,” jelasnya.
Katanya, inisiatif pemuliharaan itu membuka peluang pekerjaan dan memperkenalkan biodiversiti negeri Perak kepada pelancong.
Saarani berkata, Kampung Sungai Kejar turut menikmati kemudahan sistem solar hasil bantuan Agensi Bantuan Malaysia (MRA), manakala syarikat SEAD Industries akan membangunkan Kampung Budaya Orang Asli di Pos Raya.
“Datuk Grace Chia Hui Yen menggandingkan pasar raya terkenal AEON dan syarikat Popular Meadow untuk membawa produk Orang Asli ke pasaran besar seperti AEON dan Jaya Grocer,” katanya.
Tambahnya, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pula melaksanakan Projek Madu Kelulut Moden di tujuh kampung orang asli di Hulu Perak, Kuala Kangsar dan Batang Padang bagi meningkatkan pendapatan melalui pertanian mesra alam.
“Di Lata Kijang, pendekatan pembangunan berasaskan komuniti membuahkan pengiktirafan apabila Taman Eko Rimba yang diurus komuniti menerima Anugerah Khas Aspirasi Kampung Sejahtera 2023 dan Johan Anugerah Desa MADANI 2024 dengan bantuan NCER (Wilayah Ekonomi Koridor Utara),” jelasnya.
Dalam aspek pendidikan, beliau berkata, seramai 56 anak orang asli berjaya menamatkan pengajian tinggi pada tahun 2020, termasuk dua di peringkat sarjana.
“Pada tahun 2023, jumlah itu meningkat kepada 751 pelajar yang mengikuti pengajian pelbagai jurusan di seluruh negara. Pada 2022, tujuh pelajar telah melanjutkan pengajian ke luar negara melalui Program Ijazah Luar Negara (ILN),” katanya.
Bagi memastikan kesinambungan kejayaan itu, Yayasan Perak menyediakan Insentif Kecemerlangan Khas kepada pelajar cemerlang SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) daripada komuniti Orang Asli.
“Inisiatif ini adalah antara usaha Yayasan Perak yang dipertanggungjawabkan untuk memperkasa pendidikan di negeri ini, di mana saya sendiri adalah Pengerusinya,” katanya.
Saarani menegaskan bahawa pendidikan adalah kunci utama untuk mengubah nasib masyarakat orang asli di negeri ini.
“Saya selalu percaya dan tidak akan jemu mengatakan bahawa pendidikan adalah jalan terbaik untuk kita mengubah kehidupan, mengubah kehidupan keluarga menjadi lebih baik, mengubah negeri dan negara menjadi lebih baik,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pengetua Orang Asli Pertama Malaysia, terima Anugerah Ikon Orang Asli