Perak kukuh kedudukan dalam industri halal global

SHANGHAI – Kerajaan Negeri Perak terus mengorak langkah memperkukuh kedudukannya sebagai pemain utama dalam industri halal global dengan mengetengahkan potensi besar industri tersebut kepada pelabur China.

Sempena Forum Perniagaan Halal Malaysia-China yang berlangsung di Shanghai pada Rabu, Perak memperkenalkan Taman Industri Halal Perak (Perak HIP), yang kini sedang giat dibangunkan di Lekir, Manjung.

Taman industri halal ini dijangka menjadi pemangkin kepada usaha menarik pelabur antarabangsa, terutama dari China, untuk bersama-sama membangunkan industri halal global, yang diunjur mencecah nilai pasaran RM23 trilion (USD5 trilion) menjelang 2030.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, negeri ini tidak mahu melepaskan peluang besar menjadi salah satu pemain penting industri halal khususnya di rantau Asia dengan mengetengahkan Perak HIP.

Saarani berkata, ini kerana China merupakan antara negara yang giat melakukan pelaburan besar dalam industri halal.

Beliau berkata, pada masa ini, Perak HIP sudah mendapat perhatian syarikat dari Pakistan, Leiner Pak Gelatine Limited, yang merupakan pelopor dalam penghasilan gelatin halal di seluruh dunia.

“Industri halal semakin berkembang pesat, bukan sahaja di Malaysia, tetapi di seluruh dunia. Pasaran globalnya dijangka mencapai hampir USD5 trilion menjelang tahun 2030, jauh lebih besar berbanding RM10 trilion pada 2020.

“Perak tidak mahu ketinggalan untuk menjadi salah satu pemain penting industri halal di rantau Asia dengan mengetengahkan HIP, lebih-lebih lagi China adalah negara yang aktif dalam pelaburan industri ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Saarani turut mengetuai delegasi Perak yang disertai beberapa pegawai kanan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), sebagai agensi yang bertanggungjawab membangunkan Perak HIP.

Forum Perniagaan Halal Malaysia-China anjuran Halal Development Corporation (HDC) itu juga yang disertai pemain-pemain utama industri dari Malaysia dan China

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa, turut menyampaikan ucapan khas, yang menekankan peluang besar dalam industri halal global.

Selain industri halal, delegasi Perak turut memperluas potensi pasaran durian Musang King di China melalui anak syarikat Perak SADC, Perak Agro Durian Sdn Bhd.

Durian ini kini dieksport ke China, Singapura, dan Indonesia, dengan kerjasama strategik bersama Agro Commz Sdn Bhd (ACSB), yang dijangka memberi impak ekonomi besar kepada negeri Perak.

Dengan adanya Perak HIP dan kerjasama strategik ini, Perak berada di landasan yang kukuh untuk terus menjadi pemain utama dalam industri halal serta menarik lebih banyak peluang pelaburan dari negara luar. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

MGPerak: Syarikat Dari Pakistan Tunjuk Minat Melabur Di Taman Industri Halal Perak – Saarani

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI