IPOH – Kerajaan negeri Perak menerusi Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) melancarkan portal ECODOOR.MY, yang pertama di Malaysia, khusus bagi industri agropelancongan.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, portal tersebut berjaya menghimpunkan kira-kira 200 pengusaha agropelancongan di seluruh Perak.
Menurutnya, portal itu akan mempromosikan destinasi agropelancongan yang unik di Perak untuk memudahkan pelawat mendapatkan pakej-pakej yang menarik.
“Menerusi pelancaran portal ini, kerajaan negeri berharap dapat meningkatkan kesedaran pelancong dalam dan luar negeri terhadap potensi agropelancongan di Perak, pada masa sama mencapai pertumbuhan yang signifikan dalam industri ini.
“Portal ini adalah langkah penting dalam mempromosikan keindahan dan keunikan Perak kepada dunia sambil mengekalkan dan menyokong pembangunan lestari industri pertanian tempatan.
“Secara tidak langsung Perak dapat memperluas daya tarikannya sebagai destinasi agropelancongan yang menarik untuk pelancong,” katannya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Tourism Perak hari ini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Perak SADC, Datuk Yahanis Yahya.
Sementara itu, Yahanis berkata, portal berkenaan menyediakan platform bagi pengusaha agropelancongan mempromosi produk secara dalam talian, seterusnya menjangkau pasaran yang lebih luas, khususnya pelancong luar negara.
Menurut beliau, pihaknya menyasarkan 50,000 pakej agropelancongan terjual sehingga hujung tahun ini, berikutan sambutan menggalakkan semasa berlangsung Karnival Agropelancongan Perak 2024 di Resort Tasik Raban baru-baru ini.
“Kami mengalu-alukan penyertaan dan sokongan daripada semua pihak dalam usaha mewujudkan destinasi agropelancongan yang berjaya di Perak, selaras dengan Tahun Melawat Perak 2024.
“Selain itu, kami berharap dapat meluaskan penyertaan portal tersebut kepada pemain industri di seluruh negara sama seperti beberapa portal penginapan terkenal yang sedia ada,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
PAC 2024 bukti Perak komited bangunkan industri agropelancongan – Saarani