IPOH – Perak mengorak langkah dengan melancarkan Pelan Strategik Pemerkasaan Pendidikan Sejahtera Negeri Perak 2030 sebagai usaha menjamin pendidikan anak-anak negeri yang lebih inklusif dan berimpak tinggi.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, hala tuju pemerkasaan pendidikan itu digerakkan secara menyeluruh dan menjadi garis panduan kepada semua agensi pelaksana, supaya setiap usaha berjalan sehaluan.
Katanya, di bawah pelan berkenaan, sebanyak empat kluster utama pendidikan dikenal pasti iaitu pendidikan awal, rendah dan menengah; pengajian tinggi; pendidikan wanita, keluarga dan Orang Kurang Upaya (OKU) serta pendidikan tahfiz dan ikhtisas.
Jelas beliau, kesemua kluster itu disusun bagi memastikan setiap lapisan masyarakat mempunyai laluan tersendiri untuk berjaya.
“Kluster pendidikan awal misalnya menumpukan literasi dan numerasi, manakala kluster pendidikan wanita membuka peluang ke arah kebolehupayaan ekonomi keluarga, khususnya ibu tunggal.
“Kluster-kluster ini diperkukuh dengan sepuluh domain teras, termasuk pembelajaran sepanjang hayat, keusahawanan, kebolehpasaran graduan, pembelajaran digital dan transformasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Dengan kerangka menyeluruh ini, pendidikan di Perak dapat bergerak seiring dengan keperluan semasa dan cabaran masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Jelajah Nyalaan Bara Api 2.0 Bersama Cikgu Saarani serta Pelancaran Pelan Strategik Pemerkasaan Pendidikan Sejahtera Negeri Perak 2030 di Pusat Konvensyen Casuarina Meru, dekat sini, pada Isnin.
Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah; Pengurus Besar Yayasan Perak, Dr Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan serta, Pengarah Pendidikan Perak, Safuan Raba’ai.
Tambah Saarani, melalui Pelan Pemerkasaan Pendidikan itu, anak-anak Perak akan dipersiapkan dengan kemahiran teknikal dan insaniah bagi merebut peluang yang tersedia menerusi pembangunan projek mega di negeri ini.
Terdahulu Khairudin ketika berucap berkata, pelan itu dihasilkan melalui kajian, sesi libat urus, dan kerjasama erat pelbagai agensi termasuk Yayasan Perak, Jabatan Pendidikan Negeri, Institut Darul Ridzuan (IDR), dan sebagainya, selain disokong Universiti Putra Malaysia (UPM).
Beliau memberitahu, sebanyak tiga siri sesi ‘Focus Group Discussion’ (FGD) telah dilaksanakan bermula dengan pelajar dan pemegang taruh pendidikan, diikuti pakar-pakar pendidikan, serta jawatankuasa pemandu.
“Pelan ini dibangunkan sebagai cerminan aspirasi Perak, dan menjadi dokumen hala tuju pendidikan negeri untuk membina sistem pendidikan yang inklusif serta bermanfaat untuk semua lapisan masyarakat,” katanya.
Mengulas tentang Jelajah Nyalaan Bara Api (JNBA) 2.0 Khairudin berkata, program berkenaan telah dianjurkan ke 12 daerah dengan melibatlan 6,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan melibatkan dua kumpulan sasaran iaitu potensi cemerlang dan potensi lulus.
“Di samping program motivasi seperti JNBA, Yayasan Perak turut bergerak seiring dengan Jabatan Pendidikan Negeri dalam melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang.
“Tahun lalu, program YP Smart Target bermula dengan 50 orang Duta Harapan, dengan 48 daripadanya memperoleh keputusan semua A+ pada SPM 2024,” ujar beliau. – MG Perak
Artikel Berkaitan: