IPOH – Kerajaan Negeri Perak meluluskan Polisi Perangi Gula Negeri Perak pada 27 Ogos lalu yang mula berkuat kuasa mulai bulan ini.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, susulan itu, Jawatankuasa Pemandu Khas ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan polisi tersebut secara berfasa.
Menurutnya, kerajaan negeri mempunyai bidang kuasa yang besar dalam aspek kesihatan awam, pendidikan, komuniti dan pelesenan perniagaan.
“Inisiatif tersebut adalah langkah strategik untuk melindungi kesihatan rakyat, meningkatkan produktiviti, dan membina generasi yang sihat serta berdaya tahan.
“Polisi Perangi Gula adalah komitmen serius kerajaan negeri untuk memperkukuh kesihatan awam dan kesejahteraan rakyat Perak.
“Menerusi tindakan proaktif ini, Perak diyakini mampu menjadi contoh kepada negeri-negeri lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Mohammad Azlin Sadari di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, pada Rabu.
Katanya, terdapat tiga fasa melibatkan pendidikan dan pemerkasaan komuniti; persekitaran yang menyokong serta insentif ekonomi dan persekitaran.
“Kita akan menjalankan polisi ini secara berperingkat bermula dari fasa satu antaranya kempen media bersepadu di pelbagai platform; Latihan Katering Sihat (LKS) untuk pengendali makanan; sukarelawan komuniti sebagai duta kesihatan akar umbi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen sebagai ejen perubahan;
“Ini disusuli dengan pemberian air kosong percuma di restoran, hotel, sekolah, dan mesin layan diri; menu sihat di taska, prasekolah, dan kantin sekolah dan premis makanan digalakkan menjual buah-buahan dan snek sihat.
“Selain itu, semua mesyuarat dan majlis kerajaan wajib melaksanakan Penyajian Hidangan Sihat Semasa Mesyuarat (PHSSM),” jelasnya.
Tambahnya, pengiktirafan ‘Kafeteria Sihat’ akan diberikan kepada premis makanan yang mematuhi garis panduan.
“Publisiti percuma akan dilaksanakan melalui saluran media kerajaan dan rebat yuran lesen perniagaan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi premis yang diiktiraf,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sambutan Deepavali Perak: Makanan, minuman kurang gula menanti pengunjung