IPOH – Pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di kawasan tadahan sekitar Tasik Temengor dan Empangan Bukit Merah perlu disegerakan sebagai langkah mitigasi strategik bagi meningkatkan peluang hujan.
Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, ia juga sebagai langkah mengelakkan pemberhentian bekalan air pengairan dan domestik sekiranya keadaan kemarau berterusan di negeri ini.
Menurut beliau, paras air Tasik Temengor dilaporkan berada pada tahap rendah sehingga memberi kesan rantaian kepada empangan Tasik Bersia, Tasik Kenering dan Tasik Chenderoh yang berada pada paras operasi minimum.
“Hasil pemantauan berterusan bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) terhadap sistem empangan Sungai Perak mendapati paras air Tasik Temengor kini berada pada tahap rendah berikutan kadar kemasukan air semula jadi yang terhad dari kawasan tadahan, susulan taburan hujan yang berkurangan sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
“Dalam keadaan semasa, keupayaan pelepasan air ke hiliran dari Empangan Chenderoh adalah terhad, sekitar 100 hingga 120 meter padu sesaat.

“Bagi memastikan kestabilan paras empangan, kesinambungan aliran Sungai Perak serta mengelakkan takungan memasuki zon operasi kritikal yang boleh menjejaskan pengurusan sumber air secara keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mohamad Nizar berkata, air Tasik Bukit Merah juga berada pada Aras Kritikal Pengairan Tahap 2 pada paras 6.416 meter dengan baki simpanan air sekitar 10.837 juta meter padu, bersamaan 19.89 peratus.
“Susulan itu, operasi bekalan air bagi tujuan pengairan sawah padi di Rancangan Pengairan Kerian telah dilaksanakan secara catuan, manakala bekalan air domestik kepada pengguna awam kekal seperti permintaan sedia ada,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi tujuan mitigasi dan kelestarian pengurusan sumber air di Negeri Perak, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Perak secara rasmi telah memohon pelaksanaan OPA di kawasan tadahan Empangan Bukit Merah dan hulu lembangan Sungai Perak.
Jelas beliau, permohonan berkenaan telah dikemukakan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dalam usaha mengelakkan pemberhentian bekalan air pengairan, domestik dan memastikan kelestarian sumber air Sungai Perak dapat terus dipelihara secara menyeluruh dan bersepadu.
“Sehubungan itu, Pejabat INTAP mengambil maklum serta menyokong penuh usaha permohonan Jabatan Pengairan dan Saliran untuk melaksanakan OPA dengan kadar segera di kawasan tadahan, khususnya di sekitar Tasik Temengor dan Empangan Bukit Merah,” katanya. -MG Perak


