IPOH – Kerajaan Negeri Perak menaikkan nilai apungan Tabung Bencana Daerah kepada RM100,000 berbanding RM50,000 sebelum ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, beliau berharap usaha itu dapat membantu menyegerakan penyaluran bantuan kepada mangsa yang berhadapan bencana seperti banjir.
“Langkah ini diharap dapat membantu pemberian wang bantuan kepada mangsa agar dapat disegerakan terutamanya di daerah-daerah yang sering berlaku bencana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menggulung perbahasan Belanjawan Negeri Perak 2025 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Kedua Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Khamis.
Tambah Saarani, isu banjir antara perkara yang disentuh kerajaan negeri melalui pembentangan belanjawan sebelum ini apabila Jabatan pengairan dan saliran (JPS) menerima peruntukan besar sama ada daripada negeri mahupun Persekutuan.
Kata beliau, justeru kerajaan negeri telah meminta supaya jabatan itu untuk membuat perancangan rapi bagi menangani isu banjir secara menyeluruh.
Malah Saarani berkata, JPS juga diminta untuk menyiapkan semua projek tebatan banjir serta kerja-kerja menaik taraf sistem pengairan yang telah pun dirancang.
“Selain bantuan bencana diberikan kepada mangsa yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk memastikan kebajikan mangsa ketika dan selepas bencana diberi perhatian yang sewajarnya.
“Bantuan disalurkan berdasarkan kepada Garis Panduan NADMA Bilangan 1 tahun 2023 (Pindaan tahun 2024).
“Bantuan juga diberikan menerusi Akaun Amanah Tabung Bencana dan Bantuan Sosial Negeri Perak yang ditubuhkan di bawah subseksyen 9(1) Akta Tatacara Kewangan 1957 [Akta 61],” tambah beliau. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Belanjawan Perak 2025: Hampir separuh disalur untuk kesejahteraan rakyat