IPOH – Perak negeri yang paling banyak mewartakan kawasan penempatan untuk masyarakat Orang Asli berbanding negeri lain dengan keluasan 13,373.5 hektar.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, setakat ini sebanyak 257 kampung Orang Asli yang terdapat di seluruh negeri yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
Katanya, daripada angka itu, sebanyak 72 pewartaan kawasan melibatkan 99 kampung Orang Asli telah diwartakan sehingga kini.
Jelas beliau, pewartaan itu adalah sebagai langkah kerajaan dalam mengiktiraf dan melindungi tanah yang diduduki oleh masyarakat Orang Asli di negeri ini.
“Selain itu, 30 kampung Orang Asli juga telah menerima kelulusan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Perak untuk pewartaan.
“Baki sejumlah 128 kampung Orang Asli masih dalam proses permohonan oleh JAKOA kepada Kerajaan Negeri Perak melalui Pejabat Tanah Daerah serta Pejabat Tanah dan Galian Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Muhammad Zulfadli Zainal (PN-Slim) pada pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Kedua Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, Jumaat.
Mohd Zolkafly (BN-Lintang) berkata, Perak merupakan negeri kedua yang mempunyai populasi masyarakat Orang Asli teramai di negara ini selepas Pahang.
Jelas beliau, setakat ini, negeri ini Perak mempunyai 16,985 isi rumah, 44,604 individu, dan jumlah keseluruhan populasi sebanyak 61,589 masyarakat Orang Asli.
Tambah Mohd Zolkafly, justeru itu kerajaan negeri melalui JAKOA sentiasa berusaha mengurus dan mengiktiraf tanah yang diduduki masyarakat di pelbagai daerah.
Kata beliau lagi, di samping itu kerajaan negeri bersama jabatan sama juga komited dalam memastikan semua kampung Orang Asli di Perak menerima bekalan elektrik dan air bersih.
“JAKOA telah melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan sistem rawatan air bersih di 52 perkampungan Orang Asli di Perak, dengan peruntukan sebanyak RM1,98 Juta.
“Skop perkhidmatan ini merangkumi penyelenggaraan, pemeriksaan, dan pembersihan tandak/empangan, tangki, sistem paip, rumah pam, bekalan elektrik, serta peralatan lain.
“Langkah ini memastikan sistem berfungsi dengan baik tanpa menjejaskan produktiviti pengeluaran dan pemprosesan air bersih untuk setiap rumah yang terlibat,” katanya.
Menurut Mohd Zolkafly lagi, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah meluluskan dua projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) dengan peruntukan berjumlah RM28.0 Juta di Perak khusus untuk perkampungan Orang Asli. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Peranti pintar: RM500,000 diperuntuk kepada pelajar Orang Asli