Perak negeri pertama terima dana SeJati Madani

TAPAH – Perak menjadi negeri pertama menerima dana melalui Program Sejahtera Komuniti Madani (SeJati Madani) bertujuan untuk merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sebanyak sembilan komuniti Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) sekitar negeri ini dengan dana keseluruhan berjumlah RM779,940.

Menurutnya, antara projek atau program yang terlibat termasuklah tanaman sayur secara hidroponik, penanaman pokok pisang abu, fertigasi penanaman cili, pembuatan kuih tradisional, peternakan ikan air tawar, penanaman tebu dan betik.

“Program SeJati Madani ini merupakan inisiatif baharu Kerajaan Madani yang bertujuan untuk merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti bagi meningkatkan pendapatan dengan pemberian dana sehingga RM100,000 kepada komuniti yang layak.

“Selain itu, program ini adalah pengisian kepada kerangka Ekonomi Madani yang berteraskan konsep Malaysia Madani I dengan berfokuskan kesejahteraan rakyat, terutamanya dalam meningkatkan pembangunan sosio ekonomi masyarakat dan menangani isu miskin tegar.

Perak negeri pertama terima dana SeJati Madani
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (kiri) mendengar aduan orang ramai pada program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri 3 Tahun 2024 di Dewan Merdeka, Tapah, hari ini. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 13 MEI 2024.

“Sinergi baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan telah memungkinkan Perak muncul sebagai negeri pertama yang diluluskan dana di bawah program tersebut.

“Kelulusan dana ini dibuat melalui dua siri pertama Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan dan Kelulusan (JPK) SeJati Madani pada 6 dan 26 April lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri 3/2024 di Stadium Indera Mulia, di sini, pada Isnin.

Dalam perkembangan berkaitan, Saarani memaklumkan Perak masih mencatatkan sebagai negeri yang tertinggi dari aspek penjanaan ID Komuniti pengguna Sistem MySejaTi Madani iaitu sebanyak 265 komuniti manakala jumlah permohonan program yang diterima adalah sebanyak 74 permohonan.

“Kerajaan negeri amat mengalu-alukan dan menggalakkan komuniti yang berkelayakan untuk mengambil peluang ini serta memohon dana yang disediakan.

“Ini bagi melahirkan komuniti berdaya saing, berorientasikan komersial, serta dapat membangunkan sektor ekonomi di peringkat akar umbi selaras dengan konsep Madani yang ditunjangi kerajaan,” ujarnya.

Perak negeri pertama terima dana SeJati Madani
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun beramah mesra dengan penduduk setempat yang membeli ayam segar berharga RM5 seekor ketika jualan ‘Happy Hour’ pada program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri 3 Tahun 2024 di Dewan Merdeka, Tapah, hari ini. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 13 MEI 2024.

Sementara itu, Saarani berkata sebanyak 154 aduan telah diterima pada hari ini dan sehingga siri kedua yang lali, sebanyak 401 aduan terkumpul dengan 354 aduan telah berjaya diselesaikan.

“Sebanyak 47 aduan masih dalam tindakan iaitu aduan-aduan kompleks yang melibatkan tanah dan urusan peruntukan yang memerlukan perhatian pelbagai pihak.

“Penganjuran kali ini, melibatkan 69 kaunter khidmat pelanggan, lapan kaunter bergerak serta lebih 10 reruai pameran.

“Seperti kebiasaan, terdapat juga jualan barangan mentah dan keperluan harian dengan harga murah daripada Yayasan Bina Upaya, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) dan Jualan Rahmah anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak dengan kerjasama Pasaraya Segi,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

77 peratus aduan selesai pada Hari Bertemu Pelanggan Siri 1

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI