IPOH – Perak menjadi negeri pertama di negara ini yang mewujudkan ekosistem penjagaan warga emas secara menyeluruh dan kolektif antara kerajaan negeri, agensi serta badan bukan kerajaan (NGO), di bawah inisiatif ‘Sentuhan Kasih Perak’.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Koperasi, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Perak, Salbiah Mohamed berkata inisiatif itu menyediakan platform yang merangkumi pengkalan data penjaga bertauliah, dorongan kerjaya dan keusahawanan, padanan penjaga, sistem sokongan dan sebagainya.
Menurutnya, antara usaha awal yang digerakkan di bawah inisiatif sama adalah penyediaan kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) penjagaan warga emas secara berfasa yang melibatkan 170 peserta.
“Kita bimbang sekiranya menjelang tahun 2030 nanti, Perak mempunyai ramai warga emas yang memerlukan penjagaan rapi. Dan disebabkan itu kita perlu membentuk ekosistem ini dari sekarang dengan menyediakan platform Sentuhan Kasih Perak ini.
“Justeru itu, pada peringkat awal ini, kita sedang menyediakan latihan yang secukupnya kepada peserta agar mereka mempunyai ilmu yang baik dalam soal penjagaan golongan warga emas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Program Santunan Kasih Perak dan Majlis Penyampaian Sijil Program Latihan TVET Penjagaan Warga Emas Fasa 2 di UniKL RCMP, di sini, pada Jumaat.
Salbiah berkata latihan lima hari bermula Isnin itu dianjurkan di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Royal College Of Medicine Perak (RCMP), di sini.
Ia dilaksanakan Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri (SPW), Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK), dan mendapat kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), serta Sunshine Qualicare Sdn. Bhd.
Jelas beliau inisiatif Santunan Kasih Perak sejajar dengan unjuran ketujuh dalam agenda Perak Sejahtera 2030, iaitu dalam memperkasakan sektor ekonomi kaum wanita dan mengambil peduli golongan warga emas.
Dalam pada itu, Salbiah berkata kerajaan negeri juga berhasrat untuk menambah bilangan peserta bagi latihan berkenaan sebagai persediaan menghadapi populasi golongan warga emas yang semakin ramai di Perak.
“Selain itu, selepas ini kita juga mungkin akan memberi sasaran atau penumpuan pelaksanaan inisiatif ini kepada daerah-daerah yang mempunyai golongan warga emas ramai seperti Kampar dan Taiping,” katanya lagi. – MGPerak