IPOH – Kerajaan Negeri Perak akan memperkasakan teknologi baharu bersesuaian dengan perkembangan Revolusi Industri 5.0 (IR 5.0) di samping penggunaan sistem kecerdasan buatan (AI) di nod perindustrian utama negeri.
Ia meliputi Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) di Tanjung Malim, Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) di Manjung, Taman Teknologi Silver Valley (SVTP) di Kanthan, Taman Industri Halal Perak (Perak HIP) di Lekir dan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) di Kerian.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara itu penting dalam memastikan pembangunan projek-projek berimpak tinggi negeri itu tidak ketinggalan dalam arus perubahan teknologi maklumat masa kini,
“Menerusi perkembangan semasa perkara-perkara ini yang sedang kita buat, termasuk berkolaborasi dengan pelbagai pihak berkepentingan di samping mengguna pakai semua perkara baru yang berkaitan dengan AI.
“Kita tak boleh ada nostalgia tentang cara dan kaedah lama (pengurusan dan pembangunan industri). Ini kerana semua orang sudah ke hadapan dan setiap saat perubahan berlaku dalam dalam (perkembangan) teknologi maklumat ini,” katanya.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad hadir ke Majlis Perasmian Seminar 2.0 ‘Why Inclusive Environment, Social And Governance (IESG) and Industry Revolution (IR)5.0?’ di Hotel Casuarina@ Meru, Ipoh, pada Khamis. Foto: Pejabat Menteri Besar Perak
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Seminar 2.0: ‘Mengapa Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus Inklusif (i-ESG) serta IR5.0?’ di Hotel Casuarina@ Meru, Ipoh.
Hadir sama, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Jenny Choi Tsi Jen serta penganjur bersama merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelapang, Cheah Pou Hian.
Pada masa sama, Saarani memberi jaminan dan menjelaskan bahawa penggunaan AI bukan sebagai mahu mengganti tenaga manusia, sebaliknya ia adalah medium teknologi yang dapat membantu menambah baik mutu kerja manusia.
“Jangan ada orang salah faham yang mengatakan bahawa AI akan mengambil alih kerja manusia. Sebenarnya AI akan memperkasakan, kebolehan manusia. Oleh kerana kebolehan kita terhad, oleh itu dengan AI ni ia akan bantu memperkasakan (mutu kerja) kita.
“Oleh sebab itu jangan ada kebimbangan tentang dengan adanya AI, ataupun IR5.0 ini, ia akan menjadikan orang kehilangan kerja. Ia tanggapan yang salah,” katanya lagi.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad hadir ke Majlis Perasmian Seminar 2.0 ‘Why Inclusive Environment, Social And Governance (IESG) and Industry Revolution (IR)5.0?’ di Hotel Casuarina@ Meru, Ipoh, pada Khamis. Foto: Pejabat Menteri Besar Perak
Terdahulu ketika berucap pada majlis Saarani berkata, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada diversifikasi sumber pendapatan.
Kata beliau, ia turut meneroka ekonomi baharu seperti ekonomi biru, hijau, penjagaan dan digital, sambil memastikan pengurusan sumber semula jadi dilaksana dengan penuh tanggungjawab.
“Kita sedar bahawa pembangunan bukan berkisar soal angka dan projek semata-mata. Ia menuntut sistem penyampaian yang cekap dan responsif, agar manfaat pembangunan benar-benar dirasai rakyat di semua lapisan.
“Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dijadikan tunjang penting bagi membina tenaga kerja yang berkemahiran tinggi, selaras dengan keperluan industri baharu yang lahir daripada perubahan teknologi pesat,” ujarnya.
Sementara itu Pou Hian berkata, Seminar 2.0 diadakan dengan matlamat untuk memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) agar mereka dapat memahami, dan melonjak ke hadapan dalam arus transformasi teknologi serta kelestarian global.
“Tema ‘Why iESG and IR5.0’ dipilih bukan sekadar sebagai topik akademik, tetapi sebagai satu panggilan tindakan agar kita memahami mengapa ESG dan IR5.0 menjadi teras kepada ekonomi moden,” kata beliau. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kilang EV Proton bukti kerjasama erat China bantu lonjak industri automotif negara