IPOH – Perak komited untuk terus memperkukuh sektor pelancongan dengan mengekalkan momentum kemasukan pelancong ke negeri ini, sebagai persediaan menuju kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, meskipun tiada kempen khusus dianjurkan pada tahun ini seperti Tahun Melawat Perak 2024 (TMP2024), namun usaha promosi bagi menarik pelancong tetap digerakkan secara agresif oleh kerajaan negeri.
“Pada tahun lalu, kita telah menyasarkan kedatangan seramai 8 juta pelancong domestik sempena TMP2024.
“Kita bersyukur kerana angka tersebut telah berjaya dilepasi dan Perak turut mencatat kedatangan pelancong domestik tertinggi iaitu 10.2 juta seperti dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM)
“Tahun ini walaupun tiada kempen rasmi, kita tetap turun padang, terus menggamit dan mengajak pelancong datang ke Perak.
“Kita harap angka yang dicapai tahun lepas dapat dikekalkan, malah jika boleh dipertingkatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Malaysia Culinary World Cup (MCWC) 2025 di Bulatan Sultan Azlan Shah, di sini pada Jumaat.
Saarani berkata, kejayaan dan angka kemasukan pelancong tahun ini juga bakal dijadikan penanda aras kepada sasaran negeri sempena TMM2026.
“Kita masih ada lagi enam bulan sebelum tahun berakhir, jadi inilah masanya untuk kita terus mempromosi pelancongan Perak supaya kekal menjadi destinasi pilihan pelancong,” ujarnya.
Sebelum ini media melaporkan, Perak muncul sebagai negeri paling popular dalam kalangan pelancong domestik sepanjang tahun lalu, mengatasi Selangor dan Pahang.
Pencapaian itu berdasarkan laporan Survei Pelancongan Domestik 2024 yang diterbitkan oleh DOSM. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Tiada penemuan spesifik, bunyi letupan, gegaran kekal ‘misteri‘