Perak perkasa ekonomi dan warisan Kampung Baru Cina

IPOH – Perak telah melaksanakan dua inisiatif utama yang bertujuan untuk merancakkan ekonomi dan menghidupkan semula warisan budaya di seluruh Kampung Baru Cina.

Exco Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina Perak, Woo Kah Leong berkata, inisiatif tersebut adalah Program Pemerkasaan Kampung Baru Cina dan Ekspo Kampung Baru Cina Negeri Perak 2025.

Menurutnya, kedua-dua inisiatif ini dilaksanakan melalui pendekatan bawah-atas (bottom-up) berteraskan konsep ‘place-making’ iaitu menghidupkan semula ruang komuniti yang menekankan kerjasama erat antara kerajaan dan komuniti setempat.

“Kerajaan negeri akan menyediakan platform dan sumber, manakala komuniti setempat menjana identiti budaya, sejarah, kraf tradisi, industri baharu dan pelancongan untuk merancakkan ekonomi Kampung Baru Cina di seluruh negeri ini,” katanya.

Beliau yang juga ADUN Pasir Bedamar berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ong Boon Piow (PH-Bercham) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Khamis.

Dalam perkembangan sama, Kah Leong berkata, Program Pemerkasaan Kampung Baru Cina telah berjaya mewujudkan satu platform yang kukuh untuk memacu pembangunan holistik di Kampung Baru.

Katanya, kerajaan negeri turut menyalurkan dana kepada dua pertubuhan dan empat Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Baru Cina bagi tujuan pembangunan setempat tahun ini.

“Pertubuhan dan JPKK yang menerima peruntukan itu ialah Persatuan Rimba Kuala Sepetang Taiping; Pertubuhan Kebudayaan dan Kesenian Timur Pangkor; JPKK Liman Kati; JPKK Matang; JPKK Bercham serta JPKK Menglembu.

“Dana tersebut merangkumi penganjuran festival kebudayaan, acara larian, projek mural dan pelbagai inisiatif pembangunan komuniti yang meningkatkan keterangkuman sosial, merancakkan pelancongan mikro, dan juga menyediakan peluang ekonomi,” jelasnya.

Woo berkata, pelaksanaan Ekspo Kampung Baru Cina Negeri Perak 2025 pada Jun lalu berjaya menarik kira-kira 10,000 pengunjung serta berfungsi sebagai platform dinamik yang mempamerkan daya saing dan identiti unik Kampung Baru Cina secara komprehensif.

“Ekspo ini telah menonjolkan aspek keusahawanan tempatan, hasil perniagaan, produk industri kecil yang inovatif serta mempromosikan warisan kebudayaan dan sejarah yang menjadi jati diri masyarakat Kampung Baru Cina.

“Pada masa yang sama, penganjuran ekspo ini juga telah berjaya mengukuhkan keyakinan komuniti, khususnya golongan muda untuk kembali dan berkecimpung dalam ekonomi Kampung Baru Cina.

“Ekspo tersebut telah menunjukkan ‘soft power’ Perak. Apabila penggiat, pengusaha dan JPKK berganding bahu mempamerkan seni, budaya, sejarah dan kisah setempat, ini akan menyemai minat orang ramai khususnya anak muda untuk terlibat kerja-kerja budaya, sejarah dan pemeliharaan warisan,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Enam pertubuhan, JPKK Kampung Baru Cina terima dana pemerkasaan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI