KERAJAAN Negeri Perak terus memperkukuh usaha membangunkan modal insan berkualiti menerusi pendekatan menyeluruh merangkumi aspek pendidikan, latihan teknikal dan peningkatan kemahiran.
Inisiatif ini bukan sahaja mendukung kemajuan negeri dan negara, malah merupakan usaha penting dalam mempersiapkan rakyat menghadapi cabaran masa depan yang dipacu kemajuan teknologi.
Usaha itu digerakkan selaras dengan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030, khususnya di bawah Flagship Kelima iaitu Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembangunan modal insan menjadi asas kepada kesejahteraan sosial dan ekonomi, sekali gus menjadi tumpuan strategik dalam perancangan jangka panjang kerajaan negeri.
“Apabila rakyat memiliki ilmu dan kemahiran, mereka bukan sahaja dapat meningkatkan taraf hidup keluarga, malah mampu membebaskan diri daripada belenggu kemiskinan dan ketidaksamaan peluang.
“Inilah antara matlamat utama Pelan Perak Sejahtera 2030 yang mengangkat keadilan sosial dan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025 di Pusat Konvensyen Ipoh, baru-baru ini.
Inisiatif kemahiran inklusif
Selaras dengan matlamat tersebut, pelbagai inisiatif pembangunan kemahiran berasaskan pendekatan inklusif telah digerakkan oleh kerajaan negeri.
Antaranya termasuk program Satu Keluarga Satu Ijazah, Satu Keluarga Satu Usahawan, Satu Warga Satu Skill, dan Satu DUN Satu Pusat Ekonomi Digital (PEDi).
Menurut Saarani, usaha ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam menyediakan peluang saksama kepada semua lapisan rakyat tanpa mengira latar belakang atau lokasi geografi.
“Kesemua inisiatif ini memperluas akses kepada pendidikan tinggi, menggalakkan keusahawanan, memperkukuh kemahiran berasaskan keperluan industri, serta merapatkan jurang digital dalam kalangan rakyat.
“Selain itu, usaha Satu Daerah Satu Aktiviti Ekonomi turut digerakkan untuk membangunkan potensi setempat berdasarkan kekuatan unik setiap daerah,” katanya.
Tumpuan kepada TVET, selari dasar nasional
Usaha Kerajaan Negeri Perak juga selari dengan agenda nasional dalam memperkasa bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang menjadi tumpuan dalam pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Menerusi Belanjawan Persekutuan 2025, kerajaan memperuntukkan RM7.5 bilion untuk sektor TVET. Di peringkat negeri pula, Perak turut memperuntukkan sebanyak RM6.5 juta untuk tujuan sama.
Saarani berkata, usaha itu adalah strategi penting dalam melahirkan tenaga kerja berkualiti tinggi bagi menyokong pertumbuhan ekonomi moden.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan kini memberi penekanan kepada bidang penyelidikan baharu seperti kecerdasan buatan (AI), selain penyediaan biasiswa dan pelaksanaan kaedah pembelajaran mikro yang lebih fleksibel.
Ujar Saarani, di peringkat negeri, Program Jelajah TVET Negeri Perak dilaksanakan untuk mempromosi peluang pendidikan dan kerjaya dalam bidang teknikal dan vokasional kepada rakyat.
“Melalui pendekatan inklusif dan bersemuka, program ini membuka ruang interaksi antara institusi latihan, majikan dan pelajar.
“Ia turut membantu mengubah persepsi bahawa bidang TVET bukanlah pilihan terakhir, sebaliknya laluan strategik yang menjanjikan masa depan progresif dan berpendapatan tinggi,” jelasnya.
Fokus pembelajaran sepanjang hayat, teroka teknologi AI
Mengambil kira perubahan pesat dalam dunia kerjaya masa kini, kerajaan negeri turut memberi penekanan kepada budaya pembelajaran sepanjang hayat, termasuk latihan peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan kemahiran semula (reskilling).
Saarani berkata, justeru pendekatan latihan perlu bersifat fleksibel, modular dan mudah diakses, antaranya melalui kursus pendek, pembelajaran mikro serta integrasi AI dalam sistem latihan.
Pada masa sama, beliau turut menyeru sektor swasta untuk terus bekerjasama melalui inisiatif kerjasama awam-swasta (PPP) dalam pembangunan kurikulum, penyediaan fasiliti latihan industri dan penawaran peluang pekerjaan yang relevan.
“Teknologi ini membolehkan latihan dilaksanakan secara lebih cepat, tepat dan menjimatkan kos.
“Justeru, Perak akan terus meneroka penggunaan teknologi AI dalam pendidikan dan latihan bagi memastikan pembangunan modal insan kita kekal relevan dalam arus kemajuan global,” katanya lagi.
Melalui ekosistem pendidikan dan latihan yang menyeluruh, Perak sedang melangkah ke hadapan dalam melahirkan masyarakat berpengetahuan, berkemahiran tinggi serta bersedia menghadapi cabaran ekonomi masa hadapan. – MG Perak
Artikel Berkaitan: