IPOH – Kerajaan Negeri Perak tidak ketinggalan memperkasa teknologi digital berasaskan kecerdasan buatan (AI) dalam perkhidmatan agama menerusi pendekatan menyeluruh.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkembangan pesat teknologi itu harus dilihat sebagai peluang oleh umat Islam, namun perlu dipandu dengan hikmah serta berlandaskan wahyu al-Quran.
Katanya, ia juga menuntut Ummah untuk memastikan kemajuan teknologi sentiasa berpandukan prinsip Maqasid Syariah, iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta demi kebaikan Ummah.
“Kita tidak boleh menolak (teknologi AI) kerana ia sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan kita, sebagaimana telefon pintar.
“Walaupun ada yang mengatakan ia dicipta oleh orang Yahudi dan sebagainya, namun jika kita tidak memanfaatkannya, kita akan ketinggalan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Nadwah Mendepani Cabaran AI Dalam Kerangka Syariah Peringkat Kebangsaan di Royal Perak Golf Club (RPGC), dekat sini pada Khamis.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim.
Saarani berkata, sejajar perkembangan semasa, pelbagai inisiatif digitalisasi dan penerapan AI telah mula dilaksana termasuk aspek tadbir urus agama.
Menurutnya, institusi agama negeri seperti JAIPk, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), serta Jabatan Mufti Negeri Perak telah mengambil langkah proaktif dalam mendigitalkan perkhidmatan melibatkan urusan derma, pembayaran zakat serta pembangunan kemahiran digital dalam kalangan warga kerja.
“JAIPk juga telah memulakan pendedahan awal tentang AI kepada warga jabatan yang membuka ruang untuk mereka meneroka potensi teknologi itu dalam memperkukuh perkhidmatan agama.
“Ia termasuk membangunkan pembantu maya berteraskan syariah yang mampu menjawab soalan hukum asas 24 jam sehari dengan rujukan sahih, serta membantu menyaring kandungan media sosial yang menyeleweng sebelum ia menular,” katanya lagi.
Tambah beliau, menerusi Pelan Perak Sejahtera 2030, kerajaan negeri menekankan pembangunan seimbang yang menggabungkan kemajuan teknologi dengan pembinaan modal insan berakhlak mulia.
“Walaupun AI membantu dalam pelbagai urusan harian termasuk hal ehwal agama, ia tetap perlu dirujuk kepada sumber yang sahih.
“Justeru, AI boleh menjadi pemacu kepada pencapaian matlamat sekiranya dibangunkan dengan roh dan jiwa, bukan sekadar berdasarkan kod dan algoritma,” ujar Saarani. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
‘AI 4 Belia‘ tonjol pengunaan kecerdasan buatan kepada generasi muda