PERAK kini sedang membina ekosistem industri yang berpaksikan ilmu, di mana setiap sumber digunakan dengan tanggungjawab dan dimanfaatkan untuk kesejahteraan bersama.
Ia dibuktikan dengan pembinaan Terra Mineral Lab pada tahun lalu serta yang terkini Makmal Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Zantat Sdn Bhd, ‘Zantat Poly+Cal Innovation Lab’ di Simpang Pulai.
Dirasmikan pada Oktober 2024 makmal komersial pertama di Malaysia iaitu Terra Mineral Lab Sdn Bhd dan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Mineral (CoE) bernilai RM12 juga di bina di kawasan Perindustrian Gopeng.
Makmal ini juga bukan sekadar sebuah fasiliti biasa malah menjadi mercu tanda komitmen negeri ini dalam memajukan industri mineral khususnya dalam bidang nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE).
Ia turut dilengkapi dengan teknologi bertaraf dunia, TML berupaya menganalisis, mengenal pasti, dan menentusahkan kandungan mineral, khususnya NR-REE dengan ketepatan yang tinggi.

Sementara itu, makmal yang dibangunkan oleh Zantat Holdings Berhad pula berperanan sebagai pusat penyelidikan berteknologi tinggi yang menghubungkan dunia akademik dengan industri.
Ia bagi memacu pembangunan bahan baharu berasaskan kalsium karbonat dan juga produk mesra alam, serta mencerminkan keupayaan syarikat tempatan untuk berinovasi dan bersaing di peringkat global.
Bermula daripada operasi sederhana lebih empat dekad lalu, kini Zantat muncul sebagai peneraju utama Malaysia dalam bidangnya.
Dalam tempoh sepuluh tahun kebelakangan ini, hasil produk berkualiti tinggi yang dikeluarkan telah dieksport ke pasaran antarabangsa dengan nilai melebihi RM800 juta.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani berkata, melalui penubuhan makmal penyelidikan dan pembangunan berkenaan, industri berasaskan bahan semula jadi di Perak sedang melangkah ke fasa Baharu.

Beliau berkata, bermula daripada pengeluaran bahan mentah kepada penghasilan produk bernilai tambah tinggi yang lebih lestari dan inovatif.
Langkah tersebut juga seiring dengan agenda transformasi negeri di bawah Perak Sejahtera 2030, yang menekankan pembangunan berasaskan ilmu, inovasi dan teknologi hijau.
“Makmal (‘Zantat Poly+Cal Innovation Lab’) ini juga berperanan sebagai pusat inovasi yang menghubungkan dunia akademik dengan dunia industri di mana di sinilah ilmu dan kepakaran diterjemahkan menjadi aplikasi, dan aplikasi berkembang menjadi produk yang memberi manfaat kepada masyarakat serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
“Ia turut menjadi platform perkongsian kepakaran antara industri dan institusi pengajian tinggi, termasuk universiti-universiti di Perak. Dalam erti kata lain, inilah ruang di mana teori bertemu realiti, menjadikan Perak bukan sahaja pengeluar sumber asli tetapi juga pencipta penyelesaian berasaskan sains dan teknologi.
“Usaha ini turut menyokong matlamat Koridor TVET Negara yang sedang diperkasakan di Perak, khususnya dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan memenuhi keperluan industri berasaskan mineral serta bahan baharu,” katanya.

Sementara itu, dalam konteks pembangunan industri mineral negeri, pelancaran ‘Zantat Poly+Cal Innovation Lab’ memperkukuh lagi ekosistem yang sedang dibangunkan oleh Kerajaan Negeri.
Tahun lalu, Kerajaan Perak melalui Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) menubuhkan Terra Mineral Lab, sebuah makmal analisis mineral berkelas dunia yang berperanan sebagai pusat rujukan saintifik bagi unsur nadir bumi tidak radioaktif (NR-REE) dan pelbagai bahan mineral lain.
Melalui inisiatif tersebut, Kerajaan Perak memastikan aktiviti perlombongan di negeri ini dilaksanakan secara bertanggungjawab, berasaskan sains dan selaras dengan garis panduan kelestarian alam sekitar.
Kini dengan adanya makmal R&D baharu yang dibangunkan oleh pihak industri seperti Zantat ini, rantaian nilai industri mineral Perak menjadi lebih lengkap.

Terra Mineral Lab berfungsi di peringkat huluan dengan tumpuan kepada penyelidikan dan persijilan sumber mineral, manakala ‘Zantat Poly+Cal Innovation Lab’ berperanan di peringkat hiliran dengan menzahirkan nilai tambah hasil bumi melalui pembangunan bahan baharu, produk mesra alam dan inovasi berasaskan teknologi hijau.
Gabungan keupayaan kedua-dua makmal ini menjadikan Perak bukan sahaja negeri yang kaya dengan sumber mineral, tetapi juga berdaya maju dalam ilmu, teknologi dan inovasi.
Inilah hala tuju industri mineral yang sedang digerakkan di bawah Perak Sejahtera 2030, yang membina ekosistem lestari daripada sumber bumi hingga ke pasaran global.
Langkah ini juga memperkukuh kedudukan Perak sebagai peneraju industri mineral negara, bukan sahaja dalam bidang kalsium karbonat tetapi turut merangkumi pembangunan NR-REE yang kini menjadi tumpuan dunia. -MG Perak


